Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk membina sejuta unit kediaman mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang. Projek di bawah kendalian Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) ini akan memulakan pembinaan 100,000 unit kediaman setiap tahun. Projek ini dikatakan mampu memberikan harapan baru kepada golongan B40 dan generasi muda yang ingin memiliki rumah di lokasi yang strategik tetapi tidak mampu kerana kekangan kewangan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melihat pameran hartanah Pulau Pinang 2019 di SPICE Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang

Kemampuan memiliki rumah merupakan kebimbangan sejagat yang membelenggu bandar-bandar raya utama negara membangun dan negara maju di seluruh dunia. Antara pendorong utama adalah peningkatan pendapatan dan urbanisasi makin meluas, didorong oleh peluang pekerjaan yang semakin baik di kawasan bandar. Rumah mampu milik didefinisikan sebagai rumah yang memenuhi keperluan dari segi kualiti dan lokasi, mampu dibeli dan pembeli rumah berkenaan masih mempunyai keupayaan kewangan untuk membeli keperluan asasnya yang lain. Lokasi, kualiti dan saiz binaan sesebuah rumah sama penting dengan kemampuan untuk memiliki rumah.

McKinsey Global Institute mengeluarkan laporan pada tahun 2014 menganggarkan 330 juta isi rumah bandar di seluruh dunia mendiami rumah yang standardnya rendah atau terbeban oleh kos perumahan. Malaysia antara salah sebuah negara yang terkesan apabila kebanyakan rumah di negara ini berada pada tahap ‘tidak mampu dimiliki’.  Kerajaan terdahulu dan kerajaan Pakatan Harapan sentiasa komited dalam menyediakan prasarana rumah mampu milik kepada pemilik rumah pertama, generasi muda dan golongan B40.

Jika kerajaan menyasarkan untuk membina rumah mampu milik terutama bagi golongan B40 dan generasi muda, kerajaan perlu bersedia bahawa projek ini tidak akan memberikan sebarang keuntungan. Objektif projek ini adalah untuk memastikan golongan yang kurang berkemampuan masih mampu memiliki rumah. Jika kerajaan tidak menyasarkan keuntungan, maka projek ini mungkin berjaya direalisasikan dalam tempoh 10 tahun akan datang. Tetapi kerajaan akan berdepan dengan cabaran peningkatan kos bahan mentah dan nilai hartanah bagi setiap lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan rumah mampu milik.

salah satu projek rumah mampu milik di bawah Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan

Cara pemikiran kerajaan adalah salah satu masalah besar, kerana kerajaan beranggapan sektor swasta mampu menyediakan semua perkhidmatan asas termasuk perumahan sehingga timbul spekulasi lonjakan harga rumah mampu milik daripada RM150,000 hingga RM300,000. Walhal sasaran kerajaan adalah golongan B40 yang dianggarkan gaji minimum mereka ialah RM950 hingga RM1100. Manakala pendapatan isi rumah golongan ini ialah RM3,000 dan ke bawah.

Bagi memastikan objektif kerajaan membantu golongan B40 tercapai, syarikat milik kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri perlu ditubuhkan misalnya Lembaga Perumahan Rakyat (LPR) yang tidak bermotifkan keuntungan untuk membina rumah kos rendah dan sederhana di atas tanah kerajaan supaya dapat dijual pada golongan sasaran. Tanah kerajaan untuk skim tersebut perlu diberikan hak miliknya kepada LPR dan tidak diberi milik kepada mana-mana syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan untuk mengaut sewa dari proses tersebut. Rumah-rumah ini akan dijual pada golongan sasaran dengan syarat pemilik hanya boleh menjual semula rumah kepada LPR.

Kerajaan boleh menyediakan pelan dasar perumahan ini dengan menetapkan ‘zero deposit’ dan kadar faedah pinjaman perumahan yang rendah berbanding dengan golongan M40 dan T40. Walaupun pelan ini secara keseluruhannya tidak mampu untuk memberikan keuntungan kepada kerajaan, tetapi kebajikan golongan sasaran terbela.

Justeru itu, objektif kerajaan untuk membantu golongan B40 dengan pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun mungkin dapat direalisasikan jika semua pihak mengamalkan salah satu prinsip yang disuarakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad iaitu kerajaan perlu mengabdikan diri kepada rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here