Isu penyeludupan barang di Malaysia merupakan perkara yang sering menjadi permasalahan kepada agensi keselamatan negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM). Saban hari rakyat Malaysia akan didedahkan tentang kes-kes penyeludupan barang sama ada dari dalam Malaysia atau dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Barang-barang tidak bercukai dari luar negara merupakan barang yang sering kali diseludup masuk secara haram ke Malaysia. Antara barang yang menjadi permintaan adalah rokok, minuman keras, minyak petrol, mercun dan sebagainya. Rokok dan minuman keras merupakan barang yang mempunyai nilai rampasan tertinggi hingga mencecah jutaan ringgit serta aktiviti penyeludupan tersebut masih lagi terjadi di negeri-negeri yang hampir dengan sempadan seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Sabah.

Negara kerugian RM5 bilion hasil cukai akibat daripada rokok seludup dari negara jiran

Di samping itu, antara faktor yang menyebabkan berlakunya aktiviti penyeludupan barang ke negara ini adalah perbezaan harga barangan antara dua buah negara yang bersempadan. Sebagai contoh, harga rokok seludup dari Indonesia yang dijual dalam negara ini adalah RM4.50 hingga RM6 sekotak. Harga tersebut jauh lebih murah dari harga rokok bercukai dalam pasaran iaitu RM14.50 hingga RM17.20. Jadi, permintaan tinggi untuk rokok seludup di Malaysia telah membuatkan banyak aktiviti penyeludupan berlaku dalam negara ini.

Selain itu, kewujudan banyak ‘lorong tikus’ di kawasan sempadan negara seperti kawasan hutan sempadan Malaysia yang panjang ditambah dengan kawasan laut telah memudahkan berlakunya aktiviti penyeludupan. Ia menjadi pusat transit barangan yang ingin diseludup dan memudahkan persembunyian barang-barang tersebut sebelum dibawa ke pasaran. Pihak tidak bertanggungjawab juga mempunyai hubungan rapat dengan penduduk tempatan untuk memudahkan mereka menjalankan aktiviti ini tanpa diketahui pihak berkuasa.

Antara modus operandi yang sering mereka gunakan untuk menyeludup barang ke negara ini adalah menyembunyikan barang seludup di dalam kontena dan treler barangan lain. Penyeludup juga ada menggunakan tangki lori yang tidak mempunyai logo syarikat dan menghala ke kawasan sempadan. Tetapi apa yang paling membimbangkan adalah pemberian rasuah kepada penguatkuasa sempadan untuk melindungi aktiviti penyeludupan mereka ini.

Lubang tikus di kawasan sempadan telah memudahkan aktiviti penyeludupan berlaku

Kesan daripada penyeludupan barangan ini boleh menjejaskan ekonomi negara kerana kerajaan boleh mengalami kerugian pendapatan hasil cukai mencecah bilion ringgit jika barang seludup ini dapat diperoleh dengan mudah. Malaysia kini menjadi negara tertinggi dalam pasaran rokok seludup dunia  membabitkan 58.9 peratus penguasaan pasaran tempatan atau kira-kira 12 bilion batang rokok seludup dijual di negara ini. Bayangkan berapa banyak kerajaan telah hilang hasil cukai dari rokok seludup sahaja.

Selain itu, gejala ini juga boleh menggalakkan jenayah terancang jika barang yang diseludup melibatkan barangan larangan yang lebih serius seperti penyeludupan manusia, senjata api dan dadah. Jadi, jika kerajaan tidak membendung perkara ini dengan lebih serius ia boleh menjejaskan imej negara di mata dunia.

Justeru, kerajaan perlu memperketatkan undang-undang dan kawalan sempadan dari terus ‘dibocori’ aktiviti penyeludupan ini. Pihak berkuasa tempatan juga harus bekerjasama dengan pihak berkuasa dari negara jiran untuk menyusun strategi membanteras penyeludupan ini melalui operasi pemutihan sempadan di kawasan ‘panas’ aktiviti penyeludupan ini. Maka, pihak kerajaan dan orang ramai harus bekerjasama dan berganding bahu untuk membanteras kegiatan yang membawa kesan buruk kepada sistem perdagangan dan ekonomi negara dari terus ‘dirompak’ pihak tidak bertanggunjawab.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here