Tahun 2018 bakal melabuhkan tirainya dengan pelbagai kisah suka duka yang dilalui oleh rakyat Malaysia. Antara saat yang paling bersejarah bagi Malaysia apabila UMNO yang dahulu berkuasa mentadbir negara selama 61 tahun kini ‘terpaksa’ menyerahkan tugas pentadbiran negara kepada kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH). Sebelum PRU 14 pada 2 Mei 2018, netizen sering memberikan bayangan bahawa Malaysia akan terus bebas dengan masalah rasuah, kleptokrasi, GST, tol dan minyak seterusnya rakyat akan menikmati kehidupan yang lebih baik di bawah kerajaan Malaysia Baharu. Itu adalah harapan rakyat Malaysia di bawah kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selama enam bulan di bawah pemerintahan Kerajaan PH, rakyat sentiasa dimainkan emosi yang sentiasa turun dan naik. Sekejap gembira, kemudian kecewa, gusar, cemas dan lega yang datang bersilih ganti. Barisan pimpinan Malaysia Baharu terpaksa berhadapan dengan pelbagai isu dan permasalahan di dalam aspek pentadbiran negara. Antara isu hangat sepanjang enam bulan pemerintahan kerajaan PH ialah LGBT, ICERD dan masalah perkauman yang membawa kepada rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman yang menyebabkan kepada kematian anggota bomba Mohd Adib Mohd Kasim. Setiap aspek permasalahan ini perlu ditangani dengan cermat dan hati-hati agar tiada pihak yang tersinggung dengan setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan menteri di dalam kerajaan persekutuan.

Rakyat meletakkan harapan yang sangat tinggi di dalam pimpinan kerajaan baharu. Berkenaan dengan isu ICERD, pada 23 November 2018 kerajaan menyatakan pendirian bahawa ICERD tidak akan diratifikasi. Maka rakyat, khususnya bangsa Melayu sangat mengharapkan agar kerajaan berpegang pada kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak mereka pada 23 November lepas, iaitu masih memberikan keistimewaan kepada bangsa Melayu tanpa menafikan hak-hak bangsa lain yang ada di Malaysia.

Walaupun kerajaan gagal untuk memansuhkan tol, PTPTN dan menurunkan harga minyak pada RM1.50 seperti yang dijanjikan sebelum PRU 14, namun rakyat melihat usaha kerajaan untuk memperbaiki setiap kelemahan dari hari ke hari. Pada 27 Disember 2018, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kadar tol tidak akan dinaikkan pada 2019, selepas kerajaan membayar pampasan kepada pemilik konsesi tol dengan peruntukkan daripada kewangan kerajaan sebanyak RM994.43 juta. Malah kerajaan juga prihatin dengan beban kewangan rakyat apabila Kementerian Kewangan bersetuju untuk memansuhkan tol bagi laluan motosikal di Jambatan Pulau Pinang.

Mengenai isu PTPTN, walaupun masih lagi terdapat sedikit perbalahan apabila kerajaan sering ‘menukar’ keputusan mereka, namun graduan dan pelajar lepasan universiti sangat mengharapkan agar bebanan hutang kewangan mereka dapat dikurangkan. Seorang netizen Azim Yahya menyatakan bahawa, golongan graduan dan pelajar tidak berpuas hati dengan cadangan pemotongan gaji yang diutarakan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan. Beliau hanya mahu kerajaan memansuhkan kadar faedah PTPTN sebanyak 3% dan kadar faedah PTPTN berdasarkan kaedah ujrah 1%.

Pelajar mengadakan demontrasi menuntut agar kerajaan meminda cadangan pemotongan gaji pembayaran PTPTN

Namun di dalam semua isu yang dibincangkan di atas, mengekalkan perpaduan di antara kaum yang ada di Malaysia merupakan antara harapan utama yang dibangkitkan oleh netizen. Di media sosial facebook, seorang netizen Intan Huzaifah Haniff ada menceritakan bahawa beliau sangat terkejut apabila jirannya yang berbangsa India secara tiba-tiba menyatakan bahawa beliau tidak terlibat dengan rusuhan kuil Sri Maha Mariamman. Malah jirannya juga sangat ralat dengan kejadian yang berlaku, sambil menyatakan bahawa jiran berbangsa India itulah yang banyak membantu mereka sekeluarga. Daripada cerita yang dinyatakan, jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengharapkan kehidupan yang aman dan harmoni bersama kaum lain, tanpa provokasi daripada mana-mana pihak.

Rusuhan di Kuil Sri Mariamman menggugat keamanan negara

Perpaduan adalah kunci kepada masa hadapan negara. ‘Ibu’ kepada semua cabaran sepanjang kemerdekaan negara adalah dengan mengekalkan perpaduan. Justeru itu, sebelum kerajaan berbincang dengan penuh khusyuk mengenai persoalan ekonomi, politik dan sosial, lompang-lompang perpaduan yang masih dipolemikkan wajar diselesaikan dahulu. Rakyat masih lagi meletakkan harapan yang tinggi kepada Kerajaan Pakatan Harapan. Kita tidak mahu rakyat menukar nama daripada ‘Kerajaan Pakatan Harapan’ kepada ‘Kerajaan Tiada Harapan’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here