Kemasukan tahun 2020 ini bukan sahaja menandakan kemasukan dekad baru tetapi ia juga menandakan cabaran baru yang akan dihadapi kerajaan selepas pelbagai rintangan serta peristiwa berlaku dalam sedekad lepas. Peralihan kerajaan, ketidakstabilan ekonomi dan insiden perkauman antara isu yang mendapat perhatian serta bakal menjadi pemerhatian rakyat untuk melihat kemampuan kerajaan mengatasinya.

Politik negara melangkah tahun 2020 bakal menyaksikan sama ada akan berlaku peralihan jawatan Perdana Menteri atau tidak dan juga wujud khabar angin tentang PRU15 semakin dekat. Ekonomi negara pula menyaksikan penjualan aset kerajaan untuk mengurangkan beban hutang dan juga kadar dividen rendah ASB, Tabung Haji serta KWSP akibat daripada pasaran saham merosot.

Persoalan tentang peralihan jawatan PM akan dilihat pada tahun 2020

Dari segi sosial, rakyat tidak boleh menafikan sentimen perkauman berada pada tahap tinggi dalam masyarakat negara yang berbilang kaum dengan isu seperti Dong Zong dan Jawi. Oleh kerana itu kerajaan perlu memastikan cabaran tahun 2020 ini dilaksanakan dengan baik kerana isu politik dan sosial boleh mendatangkan masalah keselamatan kepada negara.

Ini kerana, desakan untuk berlaku pertukaran Perdana Menteri merupakan langkah yang memberi pandangan berbeza kepada rakyat sama ada ia untuk kepentingan negara atau survival ahli politik. Jika ia tidak ditangani dengan baik, boleh berlaku perasaan tidak puas hati sesetengah pihak dan membawa ke jalan raya. Malah, sama juga seperti isu Dong Zong dan Jawi. Kini, ramai sudah rakyat mula bersuara dan beri pandangan berbeza dalam isu ini.

Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu memastikan isu tersebut ditangani dengan baik supaya tiada ancaman keselamatan yang boleh berlaku pada masa akan datang. Menteri dan Timbalan Menteri tidak perlu mengeluarkan kenyataan dan membuat keputusan yang tidak menguntungkan rakyat hingga boleh mencetuskan salah faham.

2020 bakal memberi lebih banyak cabaran kepada kerajaan

Kerajaan juga harus merancakkan ekonomi dengan meyakinkan pelabur asing untuk memasuki pasaran negara bagi mengurangkan masalah penyusutan dana negara akibat daripada bebanan hutang lama dan baru. Jika tidak masalah inflasi akan terus berlaku dan rakyat terpaksa ‘ikat perut’ bagi mengharungi tahun 2020 akibat daripada masalah ekonomi negara.

Oleh itu, amat penting untuk kerajaan tidak lagi memberi alasan untuk berkhidmat dengan baik untuk rakyat kerana tahun 2020 bakal memberi lebih banyak cabaran kepada kerajaan. Aspek keselamatan perlu diberi perhatian terhadap isu-isu sensitif kerana ia boleh mengancam keselamatan negara dan sudah tentu rakyat tidak lagi mahu melihat jalan raya dipenuhi dengan penunjuk perasaan seperti tahun-tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here