Keadaan ekonomi negara yang semakin menekan kerajaan kini telah membuatkan kerajaan terpaksa mencari alternatif untuk mendapatkan sumber kewangan segera bagi mengurangkan kos dan alternatif yang dibuat oleh kerajaan adalah dengan penjualan aset negara. Menurut Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, ia dapat mengurangkan beban hutang negara dengan penjualan aset yang tidak memberi keuntungan kepada kerajaan.

Aset-aset negara yang dimiliki oleh Khazanah Nasional, Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji (TH), DRB HICOM, dan lain-lain dijual kepada syarikat-syarikat bagi mengurangkan hutang negara yang mencecah RM752.2 bilion. Ianya dilakukan supaya kerajaan dapat mengimbangi perbelanjaan dalam menguruskan pentadbiran seperti yang terkandung dalam Belanjawan 2019 dan melaksanakan pembangunan negara.

Walau bagaimanapun, penjualan aset penting negara seperti IHH Healthcare oleh Khazanah, penjualan Axiata Group oleh PNB, penjualan pegangan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dan Malaysia Airlines kepada syarikat luar dari Singapura, Jepun serta United Kingdom akan menguntungkan negara luar sahaja. Ia hanya boleh dilihat sebagai langkah mudah untuk menjana wang ke dalam poket kerajaan dalam jangka masa pendek.

Aset milik Khazanah Nasional kini dijual untuk mengurangkan hutang negara

Di samping itu, penjualan aset penting negara perlu dijadikan langkah terakhir kerajaan kerana aset tersebut harus dijual pada waktu harga tinggi. Aset negara ini boleh digambarkan sebagai harta pusaka rakyat dan sukar untuk kerajaan mendapatkan kembali aset-aset penting yang boleh menjana ekonomi negara pada masa akan datang. Malah, kesungguhan negara asing membeli aset negara ini membuktikan aset-aset tersebut bernilai tinggi dan menguntungkan.

Ini bermakna penjualan aset bukanlah win-win solution dalam menangani masalah kewangan negara. Walaupun penjualan aset merupakan cara pelaburan untuk menjana pendapatan, penjualan-penjualan aset strategik dan boleh menjana keuntungan akan merugikan masa depan rakyat serta negara. Ini bermakna kenyataan Kementerian Kewangan bahawa peningkatan pelaburan asing hanyalah penjualan pegangan aset kepada negara luar sahaja dan bukannya pelaburan dalam projek baru yang boleh menjana peluang pekerjaan.

Oleh kerana itu, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menggadaikan aset-aset penting seperti MAHB dan pegangan dalam beberapa aset penting lain hanya untuk mengurangkan hutang negara. Kerajaan harus menstruktur semula aset-aset strategik ini dari menjualnya supaya kerajaan boleh menjana keuntungan dalam jangka masa panjang. Malah, penjualan aset hanya kerana mahu bailout hutang seperti penjualan Battersea Power Station (BPS) tidak akan menguntungkan negara.

MAHB berada dalam proses akhir untuk dijual kepada Vinci & Gatwick Airports

Maka, aset-aset negara yang masih ada terutamanya melibatkan hartanah perlu dipertahankan kerana ia bakal menjadi lubuk kerajaan menjana pendapatan. Memang tidak boleh dinafikan ianya merupakan ‘permainan’ pelaburan tetapi kerugian terhadap nilai penjualan aset tidak akan membantu mengurangkan hutang negara seperti penjualan Prince Court Medical Centre berjumlah RM1.02 bilion sedangkan Khazanah membelinya dari Petronas sebanyak RM1.086 bilion.

Justeru, kerajaan harus merangka strategi untuk menjana pendapatan dengan lebih baik dari hanya menjual aset negara. Aset negara adalah kepentingan kepada negara dan rakyat jika ianya semakin hilang kerana dimiliki oleh syarikat asing, masa depan generasi akan datang boleh terjejas kerana apa yang akan tinggal kepada mereka hanya hutang negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here