Bagi menjaga kepentingan Bumiputera, kerajaan telah mengumumkan sekurang-kurangnya 30 peratus tender di setiap kementerian akan dikhaskan untuk kontraktor Bumiputera pada tahun 2020. Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2020 di mana ianya untuk membantu meningkatkan ekonomi golongan Bumiputera.

Menurut beliau juga, sehingga Ogos tahun ini syarikat Bumiputera telah berjaya memperoleh kontrak projek baharu kerajaan melalui tender bernilai lebih RM3.6 bilion. Ini bermakna syarikat Bumiputera akan tetap diberikan keutamaan oleh kerajaan dalam setiap projek persekutuan walaupun kerajaan kini mengamalkan dasar tender terbuka.

Kontraktor Bumiputera boleh memberi saingan dalam industri hartanah dengan bantuan kerajaan

Ia dapat memberi ruang untuk syarikat Bumiputera berkembang dalam mengendalikan projek kerajaan dan mengekalkan daya saing dengan kontraktor bukan Bumiputera. Kontraktor bukan Bumiputera kini telah memonopoli hampir 70 peratus projek swasta dan peningkatan peratusan tender kerajaan kepada Bumiputera ini dapat sedikit sebanyak membantu ekonomi syarikat-syarikat Bumiputera yang ada.

Malah, jika mereka berjaya mendapat dan mengendalikan tender kerajaan dengan baik sudah tentu mereka dapat meningkatkan profil syarikat Bumiputera untuk melibatkan dengan projek swasta yang lebih lumayan. Ini kerana peruntukan untuk projek di bawah kerajaan di seluruh negara hanya bernilai RM3.6 bilion setahun sahaja berbanding swasta yang boleh mencecah RM10 bilion.

Di samping itu, keputusan kerajaan ini juga mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat di mana segelintir merasakan kontraktor Bumiputera masih tidak dapat bergerak sendiri tanpa bantuan kerajaan. Mereka juga bimbang 30 peratus tender kerajaan tersebut akan diberikan kepada kroni-kroni tertentu walaupun secara tender terbuka.

Terdapat gesaan untuk pelabur asing menggunakan kontrakor Bumiputera untuk projek mereka

Walau bagaimanapun, ada berpendapat ia dapat menjaga kepentingan kontraktor Bumiputera yang menghadapi kesukaran bersaing dengan kontraktor bukan Bumiputera. Malah, mereka berharap kerajaan mengenakan syarat untuk pelabur asing mengambil kontraktor Bumiputera dalam menjalankan projek di Malaysia.

Justeru, kontraktor Bumiputera perlu mengambil peluang yang diberikan kerajaan ini untuk menjalankan projek kerajaan dengan baik kerana ini adalah satu lagi insentif kerajaan membantu golongan Bumiputera. Ia menunjukkan kerajaan masih lagi prihatin untuk membantu mereka di dalam industri yang dimonopoli kontraktor bukan Bumiputera.

Maka, mereka perlu mengelakkan sebarang ketirisan dalam menjalankan projek kerajaan supaya dalam masa akan datang kerajaan tidak akan menarik kembali kadar peratusan tender tersebut. Jika tidak kontraktor Bumiputera akan tetap ketinggalan dan usaha kerajaan ini hanya sia-sia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here