Malaysia kini melangkah ke tahun baru 2020 yang mana ia merupakan tahun Malaysia diiktiraf sebagai negara maju. Ia sejajar dengan Wawasan 2020 yang merupakan idea Tun Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ke empat lalu dan rakyat kini berharap konsep negara maju tersebut dapat direalisasikan oleh kerajaan.

Malaysia mahu setanding dengan negara maju lain dalam sektor teknologi

Negara maju boleh diklasifikasikan sebagai negara yang mempunyai ekonomi membangun dan juga infrastruktur teknologi moden serta canggih. Negara maju ini perlu mempunyai pendapatan perkapita mencecah USD15,000 dan beberapa kriteria lain seperti indeks pembangunan sumber manusia dengan mengambil kira peluang pendidikan serta kesihatan yang dipanggil penarafan sangat tinggi (HDI).

Oleh kerana itu, tahun 2020 ini juga memberi harapan kepada rakyat Malaysia untuk memastikan negara mendapat penarafan sebagai negara maju. Rakyat sudah semestinya mahukan teknologi canggih di dalam sektor pengangkutan seperti tren laju tanpa pemandu dan kereta tempatan dengan teknologi hybrid yang mampu menjimatkan wang dan masa.

Malaysia mahu mengukuhkan Industri 4.0 dengan melaksanakan teknologi A.I

Selain itu, tahun 2020 juga boleh menyaksikan perkembangan Industri 4.0 dengan memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengembangkan pelbagai sektor ekonomi di negara ini. Teknologi AI boleh digunakan dalam pelbagai sektor industri seperti agrikultur, kewangan, kesihatan, bio-diversiti, logistik, pendidikan, pengeluaran, pentadbiran dan perundangan yang boleh menyelesaikan masalah dengan menggunakan keupayaan manusia.

Perkembangan teknologi moden sebegini boleh menjadikan negara bersedia untuk melangkah masuk ke dalam industri teknologi moden seperti Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat yang mempelopori senarai negara maju. Tetapi perkembangan ekonomi negara dan pembangunan teknologi moden juga tidak harus membelakangi ekonomi rakyat kerana ianya haruslah seiring supaya kemajuan sesebuah negara bukanlah berdasarkan kebendaan sahaja.

Walau bagaimanapun, ekonomi dan teknologi Malaysia sudah berkembang pesat jika hendak dibandingkan ketika zaman kemerdekaan dahulu. Ia menunjukkan negara sudah mengorak langkah untuk menuju ke arah penarafan negara maju dan tidak mustahil satu hari nanti dunia bakal mengiktiraf Malaysia salah satu kuasa besar dalam industri teknologi menjelang Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kelak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here