Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia serta bulan keampunan. Namun, apa yang dikesalkan adalah sikap sesetengah ahli politik yang tidak menjadikan bulan yang penuh dengan kerahmatan ini sebagai medium untuk mereka berubah daripada seorang pemimpin yang negatif kepada seorang pemimpin yang bertaqwa. Ketaqwaan merupakan inti dari semua syarat-syarat sebelumnya. Ketaqwaan merupakan karakteristik penting yang harus dimiliki seorang pemimpin.

Tugas manusia sebagai khalifah Allah SWT telah disempurnakan oleh Nabi Muhammad SAW apabila Allah SWT memberikan kemenangan dan kuasa politik di Madinah dan Makkah. Allah SWT menjelaskan hasil dan kesan daripada kepimpinan khalifah Allah di muka bumi ini, akan wujudnya kejayaan, keamanan, keimanan, kesejahteraan, kemajuan, keberkatan dan rahmat, perpaduan dan sebagainya. Firman Allah SWT:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka..” (QS Al – Nur: 55)

Akan tetapi, apa yang dilakukan oleh para pemimpin pada hari ini sangat mendukacitakan. Mereka lebih mengejar keduniaan daripada memimpin rakyat mereka ke jalan yang diredhai Allah SWT. Apa yang lebih mengecewakan, rata-rata pelakunya adalah pemimpin Melayu Islam yang hidup dengan berlandaskan al-Quran dan As-Sunnah. Kerana tawaran duniawi, mereka sanggup menolak ketepi iman mereka demi sebuah kekuasaan dan kekayaan. Contoh yang paling nyata adalah isu persengkongkolan antara dua pemimpin utama parti yang mahu bergabung demi untuk merampas pentadbiran negara. Salah seorang daripadanya mempunyai latar belakang keluarga berpendidikan agama yang sangat tinggi. Tetapi dek kerana ketamakan dan kerakusan, akhirnya jatuh juga ke lembah kehinaan.

Benarlah kata pujangga, iman tak dapat diwarisi walaupun dari seorang ayah yang bertaqwa. Seorang pemimpin harus mempunyai sifat takut dan ketaqwaan yang sangat tinggi kepada Allah SWT di dalam hatinya. Jika tidak, mereka akan berlaku zalim terhadap rakyat dan bawahannya. Seperti yang terjadi sekarang, kebanyakan pemimpin parti politik berlaku zalim terhadap ahli-ahli partinya hanya kerana kerakusan kuasa. Mereka tidak mengambil pengajaran di atas peristiwa yang lepas, runtuhnya pentadbiran negara ini hanya kerana perebutan kuasa yang belum sampai masanya.

Wahai para pemimpin khususnya yang beragama Islam, kami sebagai rakyat tidak mahu melihat siapa yang lebih hebat dalam mentadbir Malaysia. Yang kami mahukan adalah seorang pemimpin yang memimpin rakyatnya ke jalan yang benar dan sempurna, jalan yang diredhai Allah SWT. Apa guna menjadi pemimpin kalau tidak bertaqwa? Jadilah pemimpin yang bertaqwa dan memimpin rakyat serta bawahannya ke jalan yang benar dan diredhai Allah SWT. Sesungguhnya, pemimpin yang penuh ketaqwaan dalam dirinya lebih dihormati para manusia didunia dan disayangi oleh Allah SWT di akhirat sana. Sabda Rasulullah SAW:

“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (yang bukan Arab), atau ‘ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (HR Ahmad dan Baihaqi).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here