Mahkamah Persekutuan Putrajaya semalam memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh dibin atau dibintikan dengan nama bapanya. Ini selepas keputusan majoriti 4-3 yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemuka Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Keputusan Mahkamah tinggi berhubung isu bin/binti anak sah taraf kepada bapa kandung melegakan banyak pihak

Mengapa isu ini amat penting bagi orang Islam? Sebagaimana yang ditetapkan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan, anak yang dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh) wajib dibin atau dibintikan dengan nama Abdullah. Hal ini kerana untuk memelihara nasab keturunan bagi mengelakkan fitnah dan juga menimbulkan kekeliruan terhadap orang Islam. Bukan itu sahaja, ia juga bagi mengelakkan sebarang permasalahan berlaku di kemudian hari sebagai contoh dari segi perkahwinan mahupun pembahagian harta pusaka mengikut hukum faraid.

Jika dilihat, masih ramai lagi pihak yang tidak mengerti mengapa dan alasannya seorang anak Islam tidak sah taraf wajib dibin atau dibintikan dengan nama Abdullah. Ia bukanlah bertujuan mahu menghina taraf kedudukan mereka disebabkan oleh kesilapan kedua ibu bapa mereka. Memang benar negara ini memperuntukkan undang-undang sivil seperti Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, namun ia tidak terpakai untuk kanak-kanak Islam kerana mereka tidak mempunyai nama keluarga. Apatah lagi bagi sebuah keluarga Islam di mana mereka diperuntukkan di bawah Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri.

Oleh sebab itu Islam melarang pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan dengan tujuan untuk memelihara nasab keturunan

Bagi saudara baru pula, ia bukanlah satu kewajipan bagi mereka untuk menukar nama dan berbin atau berbintikan Abdullah setelah memeluk Islam. Mereka boleh sahaja mengekalkan nama mereka selagi ia membawa maksud yang baik. Namun, sekiranya dikhuatiri nama asalnya boleh menimbulkan persepsi negatif, maka individu tersebut boleh menukar nama mereka dan berbin kan Abdullah.

Dalam hal ini, satu perkara yang harus difahami di sini bahawa konteks penggunaan bin atau binti Abdullah di dalam Islam bukanlah bertujuan untuk menghina atau merendahkan martabat seseorang. Ia tidak lain hanya kerana ingin menjaga nasab keturunan kerana Islam menitikberatkan perkara berkaitan agama, nyawa, akal, keturunan, harta benda dan maruah. Walaupun negara ini mengamalkan undang-undang sivil dan Perlembagaan Persekutuan, harus diingatkan bahawa undang-undang agama haruslah didahului kerana agama merupakan tiang bagi pelengkap pegangan seseorang khususnya umat Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here