Malaysia merupakan sebuah negara membangun dan masih menjadi destinasi tarikan kepada pelabur asing untuk melakukan pelaburan di dalam ekonomi negara. Walaupun negara ini berlaku peralihan kerajaan buat kali pertama sejak merdeka, ia tidak menjadi penghalang untuk Malaysia kekal menjadi pilihan pelabur asing. Ini disebabkan oleh kos hartanah dan tenaga buruh yang masih rendah selain kepelbagaian bakat tenaga kerjanya.

Kekuatan ekonomi negara juga menjadi faktor utama tarikan pelabur asing disebabkan oleh nilai eksport industri negara yang tinggi dan kestabilan politik berbanding negara-negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia. Itulah yang membuatkan nilai pelaburan asing (FDI) negara meningkat kepada RM80.5 bilion pada tahun 2018 berbanding RM54.4 bilion tahun sebelumnya yang disebabkan pelaburan oleh pelbagai syarikat antarabangsa merentas pelbagai industri.

Malaysia mencatat peningkatan 350% nilai FDI pada 9 bulan pertama 2018 – Menteri Kewangan

Peningkatan FDI tersebut disebabkan oleh pengukuhan negara dalam pelbagai sektor hingga berjaya menarik minat pelabur asing. Sektor perkilangan negara telah berjaya menarik minat negara luar hingga berlaku peningkatan sebanyak 169.3 peratus iaitu RM58 bilion dimana industri petrokimia penyumbang utama sektor ini diikuti industri elektronik dan produk elektrikal.

Selain itu, sektor utama juga berjaya mencatat peningkatan sebanyak 38.1 peratus iaitu RM6 bilion berbanding RM4.3 bilion pada tahun 2017 dimana industri perlombongan merupakan satu-satunya penyumbang dalam sektor ini. Sektor perkhidmatan pula mencatat penurunan dimana negara hanya mendapat RM16 bilion berbanding RM28.5 bilion pada tahun 2017. Tetapi, pelaburan asing dalam industri hotel dan pelancongan, kesihatan dan pendidikan berjaya meyakinkan mereka untuk meningkatkan jumlah pelaburan.

Antara negara luar yang banyak melakukan pelaburan di Malaysia adalah China yang menyumbang sebanyak RM19.7 bilion didalam ekonomi negara. Ini diikuti Indonesia sebanyak RM9 bilion, Belanda (RM8.3 bilion), Jepun (RM4.1 bilion) dan Amerika Syarikat sebanyak RM3.2 bilion. Tahun 2019 bakal menyaksikan penambahan pelaburan asing setelah beberapa perjanjian dapat dicapai bersama China dan Jepun oleh kepimpinan Tun Mahathir.

Sebab itulah penting untuk kerajaan mengukuhkan ekonomi negara untuk berdiri setanding dengan negara luar supaya dapat meyakinkan lebih banyak pelaburan asing masuk ke negara ini. Kerajaan bertindak bijak untuk melantik YB Datuk Seri Azmin Ali untuk menjadi Menteri Ekonomi kerana beliau mempunyai rekod yang baik dalam membawa masuk pelabur asing ke negeri Selangor sebanyak RM10.8 bilion ketika beliau memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Kerjasama Malaysia-China bakal meyaksikan lebih banyak pelaburan asing untuk ekonomi negara

Justeru, tidak boleh dinafikan negara ini masih menjadi pilihan utama pelabur asing dan langkah kerajaan untuk memperkenalkan Industri 4.0 pasti akan membawa lebih banyak peluang pelabur asing untuk melabur di dalam negara ini. Industri 4.0 memfokuskan tentang teknologi digital yang menjadi tarikan utama negara ekonomi besar seperti China dan Amerika Syarikat kerana ia boleh membawa pulangan lumayan kepada ekonomi negara.

Maka, kerajaan perlu memastikan ekonomi negara untuk berada pada tahap baik supaya nilai saham dan mata wang negara meningkat kerana ia boleh menunjukkan Malaysia adalah negara yang mampu menawarkan pelbagai insentif kepada pelabur. Tidak mustahil satu hari nanti Malaysia akan kekal menjadi destinasi terbaik untuk FDI dan menjadi ‘syurga pelaburan’ di mata dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here