Selepas pengumuman Program Subsidi Petrol (PSP) oleh Kerajaan Malaysia pada 7 Oktober lalu, banyak pihak yang menjangkakan bakal berlakunya satu perubahan mendadak di dalam negara, peningkatan harga barang dan kos sara hidup. Ini susulan kenyataan seorang pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai yang memberi amaran bahawa rakyat negara ini perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan berlakunya kenaikan harga barangan susulan pelaksanaan program tersebut.

Tambahnya, ini berikutan harga petrol RON95 yang diapungkan oleh kerajaan pada ketika ini dan dijangka akan meningkat dalam lingkungan 20 peratus kerana subsidi dihapuskan yang akan menyebabkan kesan kepada harga barang khususnya kos pengangkutan. Hal ini akan memberi kesan kepada harga barang penghantaran dan juga kos sara hidup rakyat.

Program Subsidi Petrol akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2020

Adakah benar PSP memberi kesan terhadap kenaikan harga barang? Jika dilihat melalui mata kasar, ia sememangnya memberi kesan terhadap kenaikan harga barang dan kos sara hidup rakyat Malaysia. Ini berikutan ketidaktentuan harga petrol di pasaran dunia yang sentiasa terumbang-ambing dan ini sekaligus akan menyebabkan para peniaga di negara ini cuba untuk mengambil kesempatan menaikkan harga barang sama ada dua atau tiga kali ganda nilainya dengan alasan kos penghantaran yang dikenakan pihak pembekal terlampau tinggi.

Selain itu, pelaksanaan PSP ini juga dijangka akan menyebabkan kenaikan harga barang dari segi pelaksanaan cukai. Hal ini kerana para peniaga akan mengambil peluang ini untuk mencipta keuntungan berlipat kali ganda menerusi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Apabila harga minyak diapungkan, mereka akan berfikir ini adalah cara terbaik untuk mengira untung dan rugi perniagaan mereka dalam menaikkan harga barangan walhal perkara itu tidak memberi kesan kepada mereka.

Dalam hal ini, jaminan yang utuh dari kerajaan dan peniaga amat perlu bagi memastikan harga barangan berada di tahap yang sepatutnya. Walaupun di Malaysia terdapat Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, namun kelompongan boleh sahaja terjadi dalam pelaksanaan kawalan harga barangan di negara ini. Oleh itu, satu jaminan bertulis di antara kerajaan dan para peniaga dalam mengekalkan harga semasa pelaksanaan PSP perlu diwujudkan bagi melestarikan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, kerajaan perlulah memikirkan solusi yang tepat dalam memastikan tidak berlakunya kenaikan harga barangan secara mendadak. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang ditugaskan untuk memantau para peniaga di seluruh Malaysia semasa pelaksanaan PSP dijalankan. Ini untuk memastikan tindakan segera boleh dilakukan sekiranya terdapat aduan daripada rakyat mengenai tindakan peniaga yang menaikkan harga barangan mengikut kehendak mereka.

Dengan pelaksanaan PSP ini, ia diharapkan tidak mendatangkan beban kepada rakyat

Di samping itu, kerajaan perlulah menyediakan satu platform laman sosial khas untuk pengguna di negara ini. Laman sesawang tersebut haruslah mempunyai segala maklumat dan data berkenaan para peniaga dan jenis perniagaan yang dijalankan oleh mereka. Perkara ini perlu dilakukan agar memudahkan para pengguna membuat aduan sekiranya terdapat kenaikan harga yang dikenakan oleh para peniaga.

Oleh itu, kerajaan disarankan untuk sentiasa melakukan pemerhatian secara kerap ke atas para peniaga di seluruh Malaysia agar mereka tidak melakukan sebarang kenaikan harga barangan secara mendadak dengan alasan yang tidak munasabah. Para peniaga juga dinasihatkan mengikut segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebagaimana termaktub dalam garis semasa penetapan harga barangan.

Justeru, kerajaan juga disaran untuk memastikan tiada harga barangan yang naik secara mendadak semasa pelaksanaan PSP dijalankan. Ini bagi memastikan rakyat Malaysia tidak merasa terbeban dengan kenaikan harga barangan akibat pelaksanaan program ini. Hal ini kerana bukan semua di antara mereka dapat menikmati keistimewaan dari pelaksanaan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here