Program yang diberi nama ‘Sekolah Pemimpin Masa Hadapan’ atau Malaysia Future Leaders School (MFLS) akan menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) serta akan menggunakan konsep ‘Summer Camp’ di mana ia akan diadakan semasa cuti sekolah. Program ini juga diwujudkan mengikut prinsip Japan Future Leaders School namun MFLS akan disesuaikan mengikut landskap dan acuan Malaysia.

Program ini juga adalah hasil cetusan idea Tun M di mana ia bertujuan untuk memupuk kualiti kepimpinan dan nilai-nilai yang baik di kalangan belia untuk mengukuhkan dan memanfaatkan potensi mereka untuk menjadi pemimpin yang hebat di masa hadapan. Sehubungan itu, idea ini juga disambut baik oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) di mana MBM yakin MFLS mampu melahirkan pelapis muda yang memiliki pakej lengkap sebagai seorang pemimpin masa hadapan.

Penubuhan MFLS bagi menggantikan program PLKN dan BTN

Sehubungan itu, pelaksanaan MFLS juga dilihat mempunyai beberapa kelebihan tersendiri kerana objektifnya dilihat lebih jelas untuk melahirkan belia yang lebih baik, matang dan memberi manfaat kepada negara. Penggunaan modul yang dirangka oleh pakar industri, tokoh-tokoh anak muda, pendidik negara dengan diketuai oleh Khazanah Nasional Malaysia dan Ernst & Young juga akan memberikan kelebihan kerana pendekatan yang digunakan jauh berbeza dengan program-program sedia ada.

Selain itu, penubuhan sekolah ini juga akan menjadi platform terbaik dalam menerapkan semangat patriotisme dalam diri anak muda masa kini yang dilihat semakin terhakis ditelan zaman. Menggunakan pendekatan latihan fasa terakhir selama 7 bulan dilihat satu tempoh yang realistik dalam menyampaikan dan menerapkan semua modul serta objektif yang ditetapkan dapat dicapai dengan positif.

Sementara itu, penubuhan MFLS ini juga telah mendapat reaksi daripada Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) di mana Presidennya, Datuk Arshad Raji berpendapat tenaga pengajar yang bakal digunakan kelak perlu mempunyai ciri-ciri kepimpinan. Hal ini kerana beliau berpendapat bahawa untuk melahirkan bakal pemimpin, tenaga pengajar yang mendidik itu perlu mempunyai karisma yang tersendiri supaya ia akan menjadi ikutan.

Walau bagaimanapun, penubuhan program ini juga tidak dapat lari daripada kecaman netizen di mana rata-rata daripada mereka berpendapat ia adalah satu pembaziran. Sebahagian daripada mereka menyatakan bahawa PLKN dan BTN tidak seharusnya dimansuhkan tetapi hanya perlu melakukan penambahbaikan.

Oleh itu, adalah penting sekiranya pihak yang menguruskan MFLS merangka dengan teliti dalam segala aspek bagi memastikan program ini akan memberi impak yang lebih baik berbanding program sedia ada. Hal ini sangat penting bagi membuktikan bahawa langkah memansuhkan PLKN dan BTN adalah satu langkah tepat dengan keberkesanan program ini.

Pihak pengurusan MFLS perlu menyediakan dan merangka pelan perancangan yang lebih bersesuaian dengan belia masa kini supaya modul yang digunakan akan memberi impak yang jauh lebih baik daripada program sedia ada. Penubuhan MFLS juga dilihat bersesuaian dengan keperluan negara dalam melahirkan belia yang berwawasan serta mampu menjadi pemimpin untuk generasi seterusnya.

MFSL adalah cetusan idea tun M bagi melahirkan bakal pemimpin yang berkualiti

Ketandusan pemimpin belia juga adalah antara faktor utama mengapa kerajaan perlu lebih teliti dalam memastikan supaya objektif MFLS akan dapat dicapai. Inisiatif kerajaan dalam melahirkan bakal pemimpin kelas satu perlu dilihat dari sudut yang lebih meluas kerana ia tidak hanya tertumpu kepada pemimpin politik dan korporat semata-mata malah akan melahirkan bakal pemimpin masyarakat.

Justeru itu, adalah penting untuk kerajaan dan semua pihak yang diberikan tanggungjawab untuk memastikan bahawa MFLS mampu mencapai objektifnya dengan cara yang tersendiri tanpa berlaku sebarang pembaziran seperti yang diramalkan netizen. Belia masa kini perlu diberikan pendedahan secara praktikal dan berterusan supaya mereka dapat memiliki semangat patriotisme dan penghayatan yang lebih baik. Hal ini penting kerana bakal pemimpin yang baik perlu mencintai negaranya terlebih dahulu sebelum benar-benar menjadi pemimpin yang baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here