Kanak-kanak merupakan aset terpenting dan juga modal insan kepada kedua ibu bapa, masyarakat dan negara. Ini kerana merekalah yang akan mewarisi legasi kepimpinan Malaysia serta bakal mencorakkan situasi pemerintahan negara. Namun, semua itu bakal menjadi kelam dek kerana keselamatan mereka yang terumbang-ambing akibat ‘tangan-tangan’ yang membinasakan masa depan dan nyawa mereka.

Saban hari berita mengenai kes penderaan kanak-kanak terpampang di dada akhbar. Ada setengah di antaranya sehingga membawa maut. Tidak cukup dengan itu, kes perkahwinan bawah umur, pelacuran dan perdagangan manusia di kalangan golongan ini juga turut terjadi. Menyedari hakikat tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata kerajaan bercadang menubuhkan agensi kanak-kanak untuk melihat isu-isu berkaitan perlindungan golongan tersebut.

Kanak-kanak adalah pewaris kepimpinan negara pada masa depan

Menurut Hannah, penubuhan agensi ini bertujuan untuk melihat semua isu perlindungan kanak-kanak dan hak mereka. Tambahnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang melakukan beberapa kajian terhadap penubuhan agensi tersebut kerana mereka amat memerlukan agensi khusus untuk melindungi kanak-kanak memandangkan Bahagian Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak dapat menampung bebanan tugas dan pelbagai tanggungjawab.

Ujarnya lagi, keseluruhan proses untuk menubuhkan agensi khas tersebut telah selesai dan kementerian sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengumumkan senarai pesuruhjaya yang dilantik bagi mengkaji segala undang-undang yang melibatkan Akta Kanak-Kanak.

Walaupun kanak-kanak di Malaysia dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, namun ia masih belum cukup untuk menjamin keselamatan serta hak mereka untuk dijaga rapi. Sekiranya agensi ini dilaksanakan dalam waktu terdekat, beberapa penambahbaikan terhadap akta ini harus dikaji agar hak kanak-kanak di Malaysia dipelihara dengan sewajarnya. Antara langkah pertama yang perlu dilakukan adalah mengkaji semula Akta Kanak-Kanak sama ada perlu digubal atau diganti dengan akta yang baharu. Ini kerana peranan akta tersebut dilihat seperti tidak berfungsi di zaman kerajaan dahulu. Jadi, kerajaan pada hari ini perlu menyediakan satu input terhadap akta ini agar ia digunakan dengan sewajarnya dalam melindungi hak keistimewaan kanak-kanak.

Agensi Khas Kanak-Kanak ditubuhkan bertujuan untuk melihat semua isu yang melibatkan perlindungan dan hak mereka

Selain itu, agensi tersebut perlulah menyediakan satu pelan tindakan bagi melindungi kanak-kanak daripada jenayah-jenayah terancang seperti aktiviti pelacuran dan sindiket pemerdagangan manusia. Boleh dikatakan sebilangan besar kanak-kanak negara ini terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu demi untuk menguntungkan pihak lain. Jadi, pihak berkenaan perlu menjalankan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membendung kegiatan tersebut.

Di samping itu, agensi tersebut dan JKM perlu memantau pengambilan anak angkat di kalangan kanak-kanak di bawah umur. Ia bagi mengelakkan terjadinya pelbagai sindiket yang melibatkan anak-anak kecil. Akta dan peraturan baharu perlu diperketatkan kepada keluarga yang ingin mengambil anak angkat di kalangan kanak-kanak bawah umur dan pemantauan selama empat hingga lima tahun perlu dilakukan bagi memastikan keluarga angkat tersebut benar-benar ‘bersih’ dari sebarang jenayah dan salah laku.

Sekiranya agensi yang diperkatakan itu dibentuk dalam masa terdekat, sudah pasti banyak manfaat yang akan diterima khususnya buat kanak-kanak di negara ini. Antara manfaatnya adalah kanak-kanak kini mempunyai satu akta khas yang akan memberi perlindungan terunggul dari segi keselamatan dan hak keistimewaan mereka. Di samping itu, cadangan penubuhan agensi ini juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam melindungi hak keistimewaan kanak-kanak yang selama ini diabaikan.

Justeru, keputusan kerajaan dalam menubuhkan Agensi Khas Kanak-Kanak ini dilihat sebagai satu langkah yang proaktif dalam membela nasib kanak-kanak di Malaysia. Ini kerana jika dilihat kerajaan hari ini sangat prihatin terhadap nasib kanak-kanak yang ditindas atau dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan yang selesa. Oleh itu, wajarlah sekiranya agensi ini dilaksanakan dalam waktu terdekat agar dapat melindungi kanak-kanak di negara ini dan seterusnya memelihara hak mereka dengan sewajarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here