Syukur pada hari ini, seluruh umat Islam di negara ini dapat meraikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Aidilfitri adalah perayaan yang besar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Selepas kita melalui proses panjang dalam bulan Ramadan al-Mubarak, Allah SWT menjadikan beberapa proses untuk memperbaiki perjalanan hidup kita. Sepanjang berada dalam bulan Ramadan, kita diajar supaya membersihkan diri daripada dosa sehinggakan Allah SWT memberikan kemenangan kepada kita pada Aidilfitri yang menjelma. Oleh itu, Aidilfitri ini bermaksud kita kembali dalam keadaan bersih daripada segala dosa. Tiada lagi dosa sekiranya kita benar – benar bertaubat kepada Allah SWT dalam bulan Ramadan dan pada malam – malam terakhirnya.

Kesyukuran di Aidilfitri perlu disambutdengan fitrah kasih sayang antara umat Islam khususnya dalam institusi kekeluargaan. Dorongan kepada sifat tersebut membawa kepada amalan bermaafan di antara satu sama lain dalam kalangan saudara – mara dan sahabat handai. Istilah bermafaan ini juga sangat sinonim dengan fitrah manusia di mana perkara ini diceritakan jelaskan oleh Allah SWT dalam surah As – Syura ayat 43 yang maksudnya:

“ Dalam pada itu ( ingatlah ), orang yang bersabar dan memaafkan ( kesalahan orang terhadapnya ), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara – perkara yang dikehendaki diambil berat ( melakukannya ) ”.

Oleh itu, hari raya Aidilfitri adalah hari untuk umat Islam saling bertemu serta saling bermaaf – maafan dan yang paling utama adalah menjalin hubungan silaturrahim yang telah terputus. Kesempatan menyambut hari raya Aidilfitri ini seharusnya digunakan untuk memupuk perasaan muhibah dan persaudaraan, baik sesama Islam mahupun yang bukan beragama Islam.

Kita perlu gunakan segala ruang dan peluang yang ada sempena sambutan hari raya Aidilfitri untuk bertanya khabar berita dan bercerita mengenai isu – isu yang terarah kepada manfaat serta dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan persabahatan bukannya sibuk membicarakan hal – hal politik yang boleh mengundang risiko kepada perbalahan dan konflik sesama kita. Oleh itu, bersempena ketibaan Aidilfitri kali ini gunakanlah kesempatan yang ada untuk mengetepikan segala perselisihan ideologi dan politik yang memudaratkan. Sewajarnya Aidilfitri tahun ini mesti menjadi medan rekonsiliasi.

Dari ‘Atha bin Abu Muslim Abdullah Al Khurasani berkata, Rasulullah SAW bersabda: “ Hendaklah kalian saling berjabat tangan, nescaya akan hilanglah kedengkian. Hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya akan saling mencintai dan hilanglah permusuhan.” ( HR Malik No: 1413 ).

Sementara itu, Allah SWT menjanjikan kelebihan untuk orang yang menyambung silaturrahim seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“ Sesiapa yang ingin dipermudahkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya ( dipanjangkan umurnya ) maka hendaklah dia menyambungkan tali silaturahim. ” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

Ketahuilah wahai semua orang Mukmin terutamanya semua pemimpin politik, segala kebaikan yang boleh dibawa melalui kedatangan sambutan hari raya Aidilfitri ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya, andai kita membawa isu – isu atau perkara yang tidak berfaedah serta perkara yang boleh mencetuskan konflik dalam menyambut hari lebaran terbabit. Antara isu atau perkara yang boleh membawa kepada masalah berkait perhubungan sesama kita ialah isu atau perkara yang membabitkan soal politik.

Oleh sebab itu, isu atau perkara yang melibatkan politik ini boleh menjadi satu isu sensitif yang perlu dikawal dengan sebaik – baiknya oleh kita semua. Jika isu atau perkara yang berkaitan dengan politik ini menjadi bahan perbincangan utama ketika kita melakukan proses ziarah menziarah ketika menyambut hari raya Aidilfitri, adalah dibimbangi ia boleh mengundang kepada perasaan kurang senang serta boleh juga menjerumus kepada perkara yang tidak diingini.

Setiap orang mempunyai pendapat serta pemikiran masing – masing mengenai segala isu politik semasa yang berlaku di sekitar kita. Sekiranya sebarang percakapan tidak dikawal dengan sebaiknya, ia boleh mengundang perasaan marah, tidak puas hati hingga boleh membawa kepada pergaduhan dan konflik berpanjangan antara keluarga serta sahabat handai. Sekiranya ini berlaku, maka sia – sialah segala amal ibadah yang telah dibuat sepanjang bulan Ramadan Al – Mubarak yang lalu serta sambutan hari raya Aidilfitri yang dinanti – nantikan selama ini. Sedangkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“ Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim ( hubungan kekeluargaan ).” ( HR Muslim ).

Justeru, marilah kita saling menjaga silaturahim antara kita sesama Islam meskipun berlainan fahaman politik. Sempena Aidilfitri ini juga, marilah kita saling bermaaf – maafan dan kita sambung semula tali silaturrahim yang telah terputus atau yang menjadi renggang sebelum ini. Lebih – lebih lagi orang diputuskan silaturrahim sebelum ini adalah kaum kerabat kita, saudara mara kita, sahabat handai kita dan orang yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan kita. Ketahuilah sesungguhnya memutuskan hubungan dengan mereka dalam hal ini sangat besar dosanya kecuali jika mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT maka memutuskan silaturrahim dengan mereka sebagai kemaslahatan supaya mereka menghentikan maksiatnya. Para ulama bersepakat, bahwa tidak diperkenankan bagi seorang muslim memutuskan hubungan dengan sesama muslim yang lain melebihi tiga hari seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“ Tidak halal bagi seseorang apabila ia memutuskan hubungan dengan saudaranya sesama muslim melebihi tiga hari, keduanya saling bertemu namun saling tak acuh satu sama lain. Sedang yang terbaik dari keduanya adalah yang memulai menegur dengan mengucapkan salam. ” ( HR Bukhari dan Muslim ).

Allah SWT memberi ancaman kepada mereka yang ingin kekal bermusuhan dan tidak mahu berdamai. Ancaman keras ini tidak lain adalah disebabkan Islam menghendaki agar umatnya terhindar dari kemudharatan besar yang ditimbulkan oleh sikap permusuhan. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda,

“ Barang siapa yang meninggalkan saudaranya selama setahun, maka ia seperti mengalirkan darahnya ” . ( Hadis sahih, diriwayatkan oleh Abu Daud, hadis no. 4269; dan Ahmad, hadis no. 17256. )

Oleh itu, marilah kita berdamai, jangan bermusuhan, jangan cela mencela, hentikan fitnah memfitnah, eratkan semula perpaduan kita sesama Islam sebagai satu ummah, sempena kita menyambut Syawal bulan kemenangan selepas kita menjalani tarbiah dan melaksanakan sebulan puasa di bulan Ramadhan yang mulia!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here