Pencemaran air minuman jika tiada pencegahan awal akan mendatangkan mudarat kepada tubuh badan manusia kerana air adalah sumber utama yang akan masuk ke dalam tubuh badan kita.

Awal Julai 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan untuk menggantung lesen kilang memproses air minuman jenama Starfresh yang didapati tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa iaitu sejenis bakteria yang boleh didapati di dalam najis, tanah, air dan kumbahan.

Antara air minuman yang ditarik balik secara sukarela oleh pihak kilang

Walaupun penggunaan produk yang tercemar dengan bakteria ini tidak menyebabkan penyakit serius pada individu yang sihat, namun pemantauan berkala perlu dilakukan oleh pihak KKM. Secara umumnya, pencemaran air bermula daripada sikap individu yang tidak bertanggungjawab dengan kebersihan sungai, tasik dan air bawah tanah.

Sungai Bilut, Pahang pernah mencatatkan kekeruhan air melebihi 10,000 NTU pada tahun 2018. Catatan jumlah itu antara yang tertinggi kerana sebelum ini, kekeruhan air tidak pernah melebihi 1,000 NTU. Tetapi kekerapan masalah kekeruhan air yang mencatatkan jumlah 10,000 NTU menyebabkan loji rawatan terpaksa ditutup sehingga empat hari sebelum beroperasi semula. Puncanya, loji rawatan air hanya mampu merawat air yang mencatatkan tahap kekeruhan di bawah 1,000 NTU.

Masalah pencemaran air bukan sahaja disebabkan oleh pembuangan sampah, sisa toksik dan najis haiwan atau manusia, bahkan aktiviti pembalakan haram yang menyumbang kepada kemusnahan tadahan air juga antara faktor utama masalah ini berlaku.

Air mineral yang tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa walaupun dikhabarkan sebagai tidak merbahaya, namun mungkin akan mendatangkan kesan yang berlainan kepada individu yang lemah antibodinya.

Masyarakat sepatutnya perlu lebih peka pada masalah pencemaran air. Kita tidak mahu bakteria yang lebih merbahaya seperti Escherichia coli atau E. Coli menyerang sumber air minuman manusia. Salah satu punca merebaknya bakteria ini adalah melalui pencemaran air. Mangsa yang terkena bakteria ini akan mengalami kekejangan abdomen sehingga menyebabkan kegagalan organ.

Pada masa ini, masyarakat mungkin hanya meletakkan kesalahan kepada pemilik kilang air minuman tercemar, tanpa menyedari punca air kotor adalah bermula daripada sikap individu yang tidak bertanggungjawab. Maka, kesedaran untuk menjaga kebersihan air perlu bermula dari sekarang, agar generasi pada masa akan datang masih boleh lagi menikmati sumber air bersih.

Masalah pencemaran air bermula daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab

Pihak KKM perlu menyiasat punca air dari pengilang produk minuman Starfresh supaya sumber air yang tercemar itu boleh dirawat. Sediakan loji rawatan air yang boleh merawat kekeruhan air yang melebihi 1,000 NTU. Pemeriksaan loji rawatan dan pengilang yang mengeluarkan produk minuman perlu dilakukan secara berkala agar kualiti air terjamin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here