Trend basikal lajak kini semakin menjadi ikutan anak-anak muda dan mereka mempamerkan aksi yang merbahaya hingga mengganggu pengguna jalanraya. Aksi-aksi mereka ini juga banyak dirakam oleh masyarakat kerana mempamerkan aksi berbahaya ‘superman’ di jalanraya dan ada juga lebuh raya seperti yang tular di lebuh raya LEKAS baru-baru ini.

Basikal lajak merupakan aktiviti perlumbaan basikal menuruni bukit dan ciri-ciri utama basikal lajak ini adalah tidak mempunyai brek. Tujuan mereka mematikan sistem brek adalah untuk mengurangkan beban basikal tersebut supaya lebih laju menurun bukit. Basikal tersebut juga diubahsuai dengan merendahkan pemegang basikal dan menukar engkol serta rim untuk memudahkan mereka melakukan aksi seperti ‘superman’.

Aktiviti sebegini menjadi ikutan dan banyak dilihat di kawasan sekitar Johor Bahru hingga wujud kumpulan dan kelab tidak rasmi basikal lajak seperti Tentera Fly JB, Kaki Ride Kulai dan Perling Fly JB. Selepas ia semakin popular, pengaruh basikal lajak ini mula merebak di seluruh Semenanjung. Keseronokan mengubahsuai basikal dan beraksi seperti ‘mat rempit’ itu membuatkan ramai golongan muda mula terjebak dengan gejala ini hingga membahayakan nyawa mereka sendiri.

Trend basikal lajak boleh membahayakan nyawa remaja dan pengguna jalanraya lain

Ia mula mendapat perhatian apabila berlaku kes kemalangan di Johor Bahru yang telah meragut 8 nyawa akibat dilanggar sebuah kereta. Malah, kes-kes lain seperti di Teluk Intan, Perak juga telah meragut 1 nyawa hingga mengakibatkan pihak polis mengharamkan penggunaan basikal ini kerana ianya telah diubahsuai tanpa ciri keselamatan.

Apabila berlaku kes kemalangan hingga meragut nyawa ini, pihak ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengatasi gejala basikal lajak kerana mustahil mereka tidak memantau aktiviti anak-anak mereka. Pengubahsuaian basikal lajak ini memerlukan modal dan bagi basikal lajak yang sudah siap dijual dengan harga RM250 hingga RM600 sebuah. Ini bermakna duit untuk membeli basikal lajak itu datang dari ibu bapa juga.

Basikal lajak ini boleh dibeli secara online dan juga di kedai-kedai basikal dengan mudah

Selain itu, ada segelintir remaja yang tidak mempunyai duit untuk membuat modifikasi basikal lajak, akan mencuri dan menjual basikal atau motorsikal bagi membeli barang basikal. Ini juga boleh membawa kepada gejala negatif terhadap golongan remaja ini semata-mata kerana meminati gejala basikal lajak.

Maka, basikal lajak ini boleh memberi kesan yang buruk kepada golongan remaja ini kerana ia bukan sahaja membahayakan nyawa mereka, malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain. Ibu bapa harus memantau aktiviti anak-anak mereka untuk tidak terjebak dengan basikal lajak kerana mereka boleh didenda sehingga RM20,000 dan dipenjara maksimum 10 tahun kerana melanggan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian penjagaan kanak kanak.

Justeru, tindakan pihak polis untuk merampas basikal lajak ini juga wajar dipuji sebelum lebih banyak nyawa terkorban dan mengelakkan ia menjadi budaya tidak sihat kepada generasi akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here