Masalah pemandu mabuk yang membawa malapetaka di jalan raya seolah-olah menjadi episod sedih yang terpaksa di tatap di media sosial sejak akhir-akhir ini. Manakan tidak, bukan sekali dua berlaku kes kematian akibat dilanggar pemandu mabuk sejak memasuki tahun baru 2020 tetapi dalam tempoh 72 jam, tiga kes kematian disebabkan oleh pemandu mabuk dilaporkan.

Insiden kemalangan yang berlaku sejak kebelakangan ini akibat daripada pemandu mabuk jelas memberikan signal bahawa golongan ini tidak langsung mengambil iktibar menyebabkan kes kemalangan diakibatkan oleh pemandu mabuk semakin menjadi-jadi.

Suami isteri dilanggar oleh pemandu mabuk menyebabkan anak-anak mereka menjadi anak yatim manakala isteri pula sedang bertarung nyawa di hospital

Kesannya, banyak nyawa pengguna jalan raya terkorban akibat perbuatan golongan yang tidak bertanggunjawab ini. Kemalangan jalan raya ini menyebabkan ramai keluarga kehilangan orang tersayang, ketua keluarga, isteri menjadi balu dan anak-anak pula menjadi yatim piatu.

Peruntukan sedia ada juga jelas tidak mampu memberikan kesedaran kepada pemandu untuk tidak memandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh alkohol. Oleh itu, akta baru pemandu mabuk perlu disegerakan memandangkan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk semakin meningkat.

Netizen menggesa kerajaan kenakan hukuman gantung kepada pemandu mabuk yang mengakibatkan kemalangan maut

Pemandu mabuk perlu diberikan hukuman yang tegas dan akta pemandu mabuk perlu dipinda bukan kerana hukuman dalam akta sedia ada tidak setimpal tetapi ia lebih kepada memastikan hukuman denda sebagainya relevan dengan keadaan semasa.

Pada masa ini, hukuman atau denda dilihat seperti tidak membebankan golongan yang disabitkan kesalahan sehingga ia tidak memberi kesan dan pengajaran kepada masyarakat. Maka kesalahan tersebut tetap berulang.

Isu pemandu mabuk yang membawa malapetaka ini perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan. Seharusnya golongan ini dikenakan hukuman yang lebih keras dan pindaan akta pemandu mabuk ini perlu disegerakan agar dapat menghalang lebih banyak lagi kes kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemandu mabuk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here