Negara kini sedang dilanda dua ancaman virus berbahaya iaitu wabak Novel Coronavirus dan wabak berita palsu yang semakin menjadi-jadi di laman media sosial. Apa yang berbeza dalam kedua-dua virus ini adalah berita palsu sudah lama berada dalam negara ini berbanding virus baru dari China tersebut.

Oleh kerana itulah kerajaan sedang mengkaji untuk membawa balik Akta Berita Palsu bagi mengekang berita yang boleh menganggu ketenteraman awam. Jika dilihat sekarang semakin banyak berita palsu tentang Coronavirus tular di media sosial hingga menimbulkan ketakutan kepada masyarakat hingga kerajaan terpaksa mengambil tindakan terhadap pelaku tersebut.

Polis telah membuka 5 kertas siasatan terhadap penularan berita palsu tentang Coronavirus

Ini menunjukkan masih ada segelintir masyarakat tidak mengambil berat tentang bahaya dan kesan penularan berita palsu. Undang-undang sedia ada seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 seperti tidak memberi kesedaran kerana terlalu ghairah mahu menjadi ‘penyampai berita pertama’ sedangkan tidak tahu kebenaran maklumat yang ingin disampaikan itu.

Oleh kerana itu kerajaan telah melihat sama ada keperluan atau tidak untuk mengembalikan semula Rang Undang-undang Akta Berita Palsu yang dimansuhkan pada tahun lepas. Jika tidak mungkin kerajaan harus menambahbaik undang-undang sedia ada dengan memberi hukuman setimpal dengan perbuatan mereka yang boleh memberi ancaman kepada negara.

Berita palsu boleh memberi ancaman kepada negara dan masyarakat

Walau bagaimanapun, perkara utama yang perlu dilakukan sebenarnya adalah kesedaran kepada masyarakat sendiri. Ini kerana walaupun mereka tahu tentang undang-undang sedia ada, mereka merasakan perbuatan mereka itu tidak memberi kesan buruk dan hanya ‘ingin berkongsi’. Sikap sebeginilah yang sebenarnya menjadi masalah walaupun negara ini mempunyai undang-undang ketat tentang berita palsu.

Maka, apa yang penting tentang berita palsu ini adalah kesedaran masyarakat sendiri yang perlu diubah supaya mereka tahu kesan buruk tentangnya. Undang-undang juga perlu ada dan jika perkara menjadi lebih serius mungkin Akta Berita Palsu ini perlu dihidupkan semula bagi mengelakkan lebih banyak berita palsu berlegar dalam masyarakat. Jadi masing-masing perlu memainkan peranan supaya maklumat yang disampaikan adalah tepat dan jika tidak pasti, jangan kongsi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here