Kebuluran memang tidak mengenal usia. Namun jika kanak-kanak kecil yang terpaksa menahan kelaparan, ianya mampu menyentuh sentimen emosi hampir seluruh penduduk dunia.

Pada tahun 2010, dianggarkan 7.6 juta kanak-kanak dan daripada jumlah itu lebih daripada 20,000 yang meninggal dunia akibat tidak cukup zat makanan. Hampir 98 peratus daripada kanak-kanak itu berusia 5 tahun.

Menurut fakta, 11.3 peratus daripada populasi dunia kini sedang mengalami kelaparan. Daripada 7.6 bilion populasi dunia, hampir 816 juta penduduknya hidup dalam keadaan tidak mendapat makanan berzat, manakala sekitar 562 juta penduduk Asia mengalami kelaparan.

Di sebalik angka itu, penduduk dunia sebenarnya sedang berhadapan dengan kemelut yang sangat memalukan. Secara kasar 1.3 bilion tan makanan yang dikeluarkan di dunia hilang atau terbuang. Sayuran dan buah-buahan adalah makanan buangan tertinggi.

Malaysia mencatatkan rekod pembuangan makanan sebanyak 15,000 metrik tan sehari manakala 3,000 metrik tan darinya masih boleh dimakan. Bulan Ramadhan mencatatkan pembuangan yang paling tinggi. Antara jumlah tertinggi yang pernah direkodkan ialah 650,000 metrik tan sehari.

Masih ada lagi kanak-kanak Malaysia yang mencari sisa sampah sebagai sumber makanan

Angka ini berada pada tahap yang sangat membimbangkan. Cadangan kerajaan pada Jun 2018 untuk menggubal Akta Pembaziran Makanan wajar dilakukan dengan kadar segera.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ada menyatakan di dalam Parlimen baru-baru ini bahawa kerajaan kini akan mendapatkan input dari negara luar termasuk Perancis dalam menggubal Rang Undang-undang Pembaziran Makanan.

Perancis merupakan antara negara yang paling komited dalam menyediakan undang-undang mengenai pembaziran makanan. Malaysia perlu mencontohi negara Napoleon Bonaparte itu dalam mengawal gejala pembaziran makanan.

Kerajaan negara itu mempunyai peruntukan khas undang-undang yang melarang pasar raya dalam negara mereka untuk membuang lebihan makanan yang tidak dijual, selain memberikannya kepada persatuan-persatuan pengguna negara berkenaan untuk disalurkan kepada golongan yang lebih memerlukan.

Pembuangan lebihan makanan akan memberi impak kepada sumber alam

Kebanyakan netizen menyambut baik usaha pihak kerajaan, malahan kehadiran bulan Ramadhan pada Mei ini mungkin akan menyumbang kepada kenaikan jumlah pembuangan lebihan makanan yang boleh dimakan.

Penggubalan akta ini secara tidak langsung akan mendisiplinkan rakyat Malaysia mengenai pembaziran makanan. Kebanyakan daripada rakyat Malaysia menganggap pembaziran makanan tidak menyumbang apa-apa kesan kepada kehidupan seharian mereka.

Namun mereka perlu tahu bahawa makanan terbuang bermakna menyumbang kepada kehilangan dan pembaziran sumber alam termasuk air, tanah, tenaga, buruh dan modal. Malah ianya juga memberikan impak kepada pemanasan bumi dan perubahan cuaca.

Pembaziran makanan mungkin nampak kecil di mata golongan berkemampuan, tetapi nilainya sangat besar pada mereka yang hanya mampu ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Rezeki yang diperolehi perlu disyukuri dan dikongsi bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here