Sudah pastinya pelbagai gelagat pelajar menghiasi hari pertama persekolahan sesi 2020. Ada yang teruja dan bersemangat bersama rakan-rakan yang baru dikenali dan tidak kurang ada juga yang murung, kelihatan mengantuk serta bosan kerana masih belum membiasakan diri dengan persekitaran atau sesi persekolahan baharu.

Antara gelagat yang menghiasi hari pertama persekolahan

Tahun 2020 pastinya memberi cabaran baharu terhadap sistem pendidikan negara terutamanya untuk mendidik generasi yang bakal mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Paling ketara, silibus akademik sekolah sudah jauh berbeza hari ini daripada apa yang dihadapi pelajar 10 tahun dulu.

Kini, dunia telah memasuki era IR 4.0 dan pastinya akan mengubah corak sistem pendidikan negara yang seharusnya perlu memberi lebih fokus terhadap pendidikan di era digital. Sesetengah pihak bimbang pendidikan era digital ini akan memberi cabaran terutamanya kepada kanak-kanak sekolah rendah.

Namun, kanak-kanak masa kini lebih bijak terutama dalam menguasai teknologi digital kerana kebanyakan mereka sudah memiliki telefon pintar seawal usia lima hingga tujuh tahun. Perkembangan digital dalam pendidikan berlaku amat cepat dan kanak-kanak sekolah sekarang lebih cepat menyerap digitalisasi berbanding orang dewasa. Maka, seharusnya era persekolahan digital ini tidak menjadi masalah kepada mereka.

Perkembangan teknologi yang pantas mengakibatkan perubahan dalam sistem pendidikan

Di dalam era yang sedang berubah dengan pantas, seharusnya pendidikan IR 4.0 ini perlu diberi penekanan dan dimasukkan dalam silibus pelajaran. Perkembangan teknologi yang pantas ini memerlukan perubahan dalam sistem pendidikan selaras tuntutan modal insan industri agar generasi muda lebih bersedia menghadapi cabaran sebenar dalam kehidupan.

Penerapan era digital menjadi satu keperluan penting dalam persekolahan dan pendidikan digital ini merupakan usaha yang mampu meningkatkan kadar celik teknologi maklumat (IT) dalam kalangan rakyat sejak dari bangku sekolah. Malah, pendidikan yang menyeluruh ini mampu merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar seterusnya menjadi pemangkin kepada masa depan generasi akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here