Malaysia telah mengamalkan sistem demokrasi sejak negara mencapai kemerdekaan dan ianya masih diteruskan di bawah kerajaan baharu. Pelbagai pembaharuan juga telah dilakukan demi memantapkan sistem demokrasi sedia ada dan menunjukkan ketelusan kerajaan dalam memastikan kepercayaan rakyat yang inginkan perubahan dapat direalisasikan.

Malah, sepanjang tempoh hampir dua tahun kerajaan baharu memerintah juga telah menyaksikan negara mencatatkan kedudukan lebih baik dalam Indeks Demokrasi 2019 apabila berada di tempat ke-43 daripada 167 negara. Peningkatan sebanyak sembilan anak tangga daripada tempat ke-52 pada 2018 dipengaruhi daripada keputusan kerajaan yang telah mengubah landskap pentadbiran kerajaan kebelakangan ini.

Kedudukan Malaysia meningkat di tempat ke-43 dalam Indeks Demokrasi

Antaranya adalah pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 pada Mac tahun lalu yang memberi keterbukaan berkempen kepada semua pihak termasuk pembangkang terutamanya dalam media sosial. Selain itu, kerajaan juga telah mengurangkan had umur mengundi kepada 18 tahun bagi memberi kebebasan untuk mereka memilih sendiri kerajaan.

Selain itu, jika hendak dibandingkan dengan negara jiran dalam Indeks Demokrasi yang dikeluarkan, Malaysia berada pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding Singapura (69), Indonesia (68) dan Thailand (107). Negara-negara jiran tersebut telah mencatat penurunan akibat  daripada undang-undang yang memberi sekatan hak kebebasan bersuara kepada rakyat.

Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar meningkatkan skor negara dalam Indeks Demokrasi 2019

Ini merupakan pembaharuan demokrasi yang memberi kebaikan kepada rakyat dan menunjukkan keputusan kerajaan telah berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Peningkatan skor dalam proses pemilihan dan pluralisme daripada 7.75 kepada 9.17 telah memberi gambaran proses pilihan raya negara adalah adil serta terbuka kepada semua masyarakat tidak kira bangsa.

Justeru, statistik yang dikeluarkan telah memberi gambaran kebebasan dalam demokrasi negara dan transformasi oleh kerajaan baharu. Diharapkan agar satu hari nanti Malaysia mampu mencapai skor yang lebih baik dan dapat dikategorikan dalam demokrasi sempurna seperti negara-negara besar yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here