Kemunculan virus Covid-19 telah menyebabkan masyarakat di seluruh dunia berada dalam keadaan panik dan ketakutan. Mana tidaknya, wabak ini mampu membawa kematian dan lebih teruk lagi sehingga kini vaksin bagi wabak ini masih belum ditemui. Oleh itu, pelbagai inisiatif dan usaha telah dilakukan oleh seluruh negara bagi mengekang penularan wabak ini termasuklah Malaysia.

Kini, Malaysia sudah berada dalam fasa pemulihan di mana ia boleh dikatakan kita sudah melepasi fasa kritikal. Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga kerajaan telah menetapkan beberapa SOP ketat yang perlu dipatuhi rakyat supaya penularan wabak ini dapat diputuskan.

Siapa sangka wabak ini bukan sahaja mengancam nyawa kita malah ia telah mengubah rutin harian kita. Nampaknya, kesan daripada penularan wabak Covid-19 ini benar-benar menuntut pengorbanan yang perlu dilakukan oleh semua terutamanya di tempat awam.

Orang ramai perlu membiasakan diri dengan norma baharu bagi memutuskan penularan Covid-19

Jika dahulu semuanya boleh dan bebas dilakukan tanpa kerisauan, kini beberapa perubahan perlu dilakukan seperti memakai penutup mulut dan hidung, penggunaan sanitizer, menjaga penjarakan sosial, pemeriksaan suhu badan di premis perniagaan dan lain-lain. Dalam erti kata lain, tahap kebersihan setiap individu perlu berada ditahap paling maksimum tanpa mengira tempat.

Sementara itu, setelah melalui beberapa fasa seperti PKP, PKPD, PKPB dan kini PKPP akibat daripada Covid-19, perkembangan positif orang ramai terhadap amalan norma baharu dilihat semakin baik. Sebelum ini, petugas barisan hadapan menjadi benteng pertama dalam menangani penularan wabak ini. Kini, tugas penting ini sudah beralih kepada rakyat dan ini bermakna kita semua bertanggungjawab meneruskan segala usaha frontliner dengan mematuhi SOP serta mengamalkan norma baharu.

Sehubungan itu, lagi cepat kita membiasakan diri dengan perubahan ini lagi mudah dan cepat setiap urusan harian kita. Siapa tahu, apa yang kita lakukan ini akan menjadi budaya dalam masyarakat kita namun bakal menjadi amalan biasa pada generasi akan datang. Pengorbanan dan disiplin kita hari ini mungkin menjadi antara faktor penting kepada kemajuan negara kita pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here