Perkembangan teknologi komputer, smartphone, tablet pada masa kini yang semakin pesat menjadikan sebaran virus kini tidak hanya bertujuan untuk merosakkan sistem, data, perisian, dan melumpuhkan rangkaian komputer,  tetapi ia lebih dari itu malah melangkah lebih jauh dan canggih.

Oleh kerana wujudnya kecanggihan teknologi pada zaman sekarang maka wujudlah aktiviti yang dinamakan sebagai jenayah siber. Jenayah ini akan bersenjatakan dengan sambungan internet dan juga komputer. Aktiviti yang berlaku dalam jenayah siber secara dasarnya adalah aktiviti penggodaman yang dijalankan secara rasmi oleh sesebuah kerajaan untuk mencuri data musuhnya dan digunakan oleh penjenayah siber untuk melakukan jenayah siber.

Pengguna perlu lebih berhati-hati dengan jenayah siber

Walau bagaimanapun, perlu kita ketahui bahawa terdapat beberapa jenis jenayah atau serangan siber yang sering digunakan oleh pakar penggodam di seluruh dunia antaranya adalah Worm, Trojan, Phishing, Keylogging, Cross-Site Scripting dan Web Defacement. Jika dilihat pada namanya mungkin berbeza tetapi fungsinya tetap sama iaitu untuk menceroboh masuk ke dalam sesebuah sistem tetapi apa yang membezakannya adalah tahap kecekapan sesebuah virus itu berfungsi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata jenayah siber telah merekodkan kerugian sebanyak RM153 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Ancaman jenayah siber di negara ini menunjukkan perkembangan yang amat menggerunkan, sekali gus memerlukan perhatian serius semua pihak. Kerugian jenayah siber dalam tempoh lima bulan pertama 2019 ialah kira-kira 38 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian RM398.6 juta pada 2018.

Antara keratan akhbar yang melibatkan jenayah siber

Oleh itu, perlu kita sedari bahawa jenayah siber ini adalah satu ancaman bagi sesebuah negara khususnya negara kita sendiri. Hal ini kerana  kebebasan berkomunikasi dan menyalurkan pelbagai bentuk informasi dalam ruang internet dan media-media sosial juga berpotensi meningkatkan kebarangkalian berlakunya hasutan dan perbalahan yang boleh mencetuskan konflik dan menggugat kestabilan di dalam atau antara negara.

Pihak  kerajaan perlu bersiap sedia dengan mewujudkan benteng pertahanan negara dalam bidang keselamatan siber kerana serangan dan jenayah siber adalah ancaman yang perlu ditangani dengan serius. Undang-undang yang merangkumi pelbagai aspek perlu digubal secepat mungkin bagi membolehkan tindakan pantas dapat diambil untuk menghalang perlakuan jenayah siber oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru itu, pendedahan awal perlu diberikan kepada generasi muda agar mereka sedar tentang kewujudan era dunia siber pada zaman serba canggih kini. Malaysia juga perlu melatih modal insan yang mempunyai pengetahuan dalam bidang memantau keselamatan siber. Para pelajar juga perlu diberikan pendedahan dan diajar teknik-teknik yang selalu digunakan oleh penggodam untuk mengetahui kelemahan sesebuah sistem dan mencadangkan penambahbaikan yang perlu bagi mengelakkan sistem dikompromi anasir jahat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here