Masyarakat seluruh dunia kini berdepan dengan satu lagi ancaman wabak penyakit terbaru iaitu 2019-nCoV atau lebih dikenali sebagai Novel Coronavirus. Wabak terbaru itu mula tersebar di wilayah Wuhan, China pada penghujung Disember lalu dan telah menjangkiti lebih 4,500 penduduk China serta meragut 106 nyawa.

Ia merupakan virus spesies baru yang belum pernah ditemui manusia dan ianya seakan-akan virus SARS dahulu. Virus ini boleh merebak di antara manusia serta haiwan dan antara punca virus ini mula merebak di Wuhan adalah disebabkan oleh pengambilan daging haiwan liar seperti ular berbisa dan kelawar. Malah, virus ini juga mudah merebak melalui sentuhan dengan pesakit berjangkit atau terkena air liur ketika pesakit bersin atau batuk.

Pesakit virus ini akan mengalami simptom seperti batuk, demam dan kesukaran bernafas. Apabila virus tersebut merebak hingga serius ia boleh menyebabkan pesakit mengalami radang paru-paru atau sesetengah kes, kegagalan buah pinggang hingga mengakibatkan kematian. Apa yang membimbangkan adalah terdapat juga kes Novel Coronavirus terjadi tanpa mengalami simptom tersebut.

Kes 2019-nCoV kini telah dikesan di beberapa negara lain

Kini, ia mula tersebar ke serata dunia seperti Thailand, Singapura, Vietnam, Jepun serta Korea Selatan akibat daripada pelancong China yang membawa virus itu dan Malaysia juga tidak berkecuali. Di Malaysia sudah berlaku 4 kes jangkitan Novel Coronavirus yang dibawa pelancong China di Johor Bahru dan 3 daripada 4 pesakit tersebut kini dirawat dalam wad asingan Hospital Sungai Buloh.

Susulan daripada kes tersebut, kerajaan telah melaksanakan perintah untuk menyekat kemasukan serta pemberian visa kepada pelancong China dari wilayah Wuhan dan Hubei sehingga perkara ini menjadi reda. Ia sekurang-kurangnya mengurangkan kebimbangan rakyat untuk mengelakkan virus ini merebak dalam negara kerana sehingga kini masih belum ada lagi rawatan  selain hanya mengurangkan simptom-simptom awal sahaja.

Maka, amatlah penting kepada rakyat Malaysia untuk membuat pencegahan awal bagi mengelakkan dijangkiti virus ini. Kementerian Kesihatan (KKM) telah menasihatkan supaya rakyat Malaysia memakai penutup mulut, sentiasa membasuh tangan menggunakan sanitizer dan mengelakkan sentuhan terus dengan haiwan liar serta individu yang dijangkiti.

Justeru, rakyat Malaysia perlu berhati-hati dan sentiasa mengikut perkembangan semasa tentang virus ini khususnya daripada KKM supaya dapat menjaga kesihatan diri serta keluarga dari sebarang ancaman Novel Coronavirus pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here