Perkembangan teknologi yang semakin maju kini menjadikan dunia semakin berkembang dan tiada sempadan. Namun, kecanggihan dan kepesatan teknologi bukan sahaja mendatangkan kesan positif kepada kehidupan manusia, bahkan turut membawa kepada ancaman yang boleh membahayakan kehidupan jika tidak diawasi dan ditangani sebaiknya. Antara ancaman yang makin merbahaya kini adalah serangan siber.

Serangan siber boleh berlaku dalam bentuk penghantaran bom e-mel, spam, gangguan, ancaman penggodam dan serangan virus yang akan mengakibatkan kerugian besar serta menyebabkan kehilangan maklumat sulit syarikat mahupun kerajaan. Ia menjadi senjata baharu yang sangat efektif untuk menceroboh mana-mana sistem maklumat atau data sulit kerajaan, negara, jabatan atau syarikat kerana cepat dan mudah digunakan dengan hanya menggunakan telefon pintar atau komputer.

Dalam negara ini sahaja pernah berlaku serangan siber hingga menjangkiti semua jenis sistem operasi, pelayan (server) perkhidmatan dalam talian dan laman sesawang. Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) juga mengeluarkan amaran mengenai potensi serangan siber ke atas infrastruktur yang mensasarkan organisasi atau syarikat di Malaysia. Jenis serangan yang dikesan termasuk godaman, cubaan menggodam, Distributed Denial of Service (DDoS), Web Defacement dan jangkitan malware.

Serangan siber terhadap BNM menunjukkan ancaman mereka terhadap institusi kewangan pada zaman kini

Jika serangan siber ini tidak dipantau dan diatasi dengan segera, negara boleh mengalami kerugian serta keselamatan negara boleh diceroboh oleh sesiapa sahaja. Bank Negara Malaysia (BNM) pernah menjadi mangsa dalam satu serangan siber, di mana penggodam cuba mencuri wang menerusi transaksi palsu yang merupakan siri rompakan elektronik terbaru ke atas institusi kewangan di seluruh dunia. BNM menyatakan tiada dana hilang dalam serangan tersebut tetapi ia menunjukkan tentang bahaya serangan siber ini.

Malah, cara untuk melancarkan perang pada zaman kini bukan lagi menggunakan kereta kebal atau kapal perang tetapi menggunakan komputer berkelajuan tinggi atau supercomputer. Jika serangan siber ini digunakan untuk menyerang sistem pertahanan negara, mereka boleh mengawal atau menutup terus komunikasi pertahanan dan negara luar boleh memasuki negara ini dengan senang kerana pihak keselamatan negara sudah menjadi ‘buta’. Kini negara-negara luar sedang berlumba untuk mempunyai sistem pertahanan siber terbaik dengan meletakkan encryption code yang rumit dan sistem firewall yang kebal untuk menangkis serangan siber ini.

Maka, inilah langkah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani ancaman siber ini. Malaysia bernasib baik kerana masih belum ada serangan siber yang serius hingga menjejaskan keselamatan negara atau menyebabkan rompakan wang tanpa disedari. Tetapi tidak mustahil jika ianya boleh terjadi pada masa akan datang. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) harus berusaha untuk meningkatkan sistem keselamatan internet supaya mereka dapat mengesan sebarang ancaman siber dengan lebih awal.

CDOC milik Angkatan Tentera Malaysia perlu dipertingkat untuk menangani serangan siber

Pihak keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia perlu diberikan dana untuk memperkasakan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) mereka agar dapat melindungi dan mencegah serangan musuh siber secara komprehensif. Ianya penting kerana ATM sedang mengkaji dan mengenalpasti sebarang ancaman keselamatan terhadap penggunaan teknologi generasi kelima (5G) sebelum diterima pakai di negara ini bagi mengelakkan  sebarang unsur serangan siber dan mengumpul maklumat yang sensitif.

Justeru, kerajaan tidak boleh memandang ringan tentang serangan siber kerana serangan siber kini semakin berubah-ubah hingga boleh mejejaskan keselamatan negara. Kini rompakan wang tidak lagi dilakukan di bank, tetapi boleh dilakukan secara transaksi atas talian. Di samping itu, serangan siber juga boleh digunakan dalam pemilihan pilihan raya dan macam-macam lagi. Kemajuan sistem 5G kini dilihat boleh menyebabkan serangan siber menjadi lebih tersembunyi. Inilah ancaman-ancaman serangan siber yang sangat bahaya jika tidak dicegah dari awal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here