Ketika zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Dasar Permit Import (AP) Terbuka telah dikekalkan sebagai salah satu usaha membangunkan usahawan automotif dalam kalangan orang Melayu. AP terbuka merupakan kemudahan permit import yang diberikan oleh kementerian kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang berkelayakan untuk mengimport kenderaan yang dibaikpulih untuk jualan pasaran tempatan.

Namun begitu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah mengkritik pemberian AP pada tahun 2005 kerana berpendapat bahawa AP hanya akan memperkayakan beberapa individu dan meletakkan kereta tempatan pada tahap tidak disenangi.

Walau bagaimanapun, pemberian AP masih dilaksanakan di bawah kerajaan baharu untuk mempromosikan pembangunan usahawan bumiputera baru dalam industri automotif. Selain itu juga, dasar ini bertujuan untuk terus menyumbang kepada matlamat sosioekonomi negara dan mewujudkan daya saing pasaran yang dapat memberikan manfaat kepada pengguna terutamanya dari segi harga serta perkhidmatan.

Dasar AP terbuka ini masih diteruskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan beberapa penambahbaikan kerana dasar ini dilihat masih relevan dan perlu diteruskan. Hal ini kerana, dasar AP terbuka ini dapat memberi pilihan kepada orang ramai untuk membeli kereta import terpakai pada harga yang kompetitif.

Dasar AP terbuka memberi ruang kepada masyarakat untuk memiliki kereta import mewah dengan harga mampu milik

Tambahan lagi, industri pengedaran dan pengimportan kereta import terpakai juga memberi sumbangan yang signifikan kepada industri automotif serta pembangunan sosioekonomi negara. Sebagai contohnya, ia memberi sumbangan kepada perniagaan industri sokongan dan sektor perkhidmatan seperti bank, insurans, perkapalan dan logistik. Bukan itu sahaja, sektor ini juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Oleh itu, sekiranya dasar ini dimansuhkan, tiada lagi kereta import terpakai dibenarkan masuk ke negara ini sekaligus menafikan hak masyarakat untuk memiliki kereta import mampu milik. Bukan itu sahaja, peluang pekerjaan dan pekerja yang bekerja dalam industri tersebut juga akan terjejas sekiranya dasar ini dimansuhkan.

Justeru itu, dasar AP terbuka ini perlu diteruskan namun perlulah ada penambahbaikan antaranya adalah memberi peluang kepada syarikat-syarikat Bumiputera baharu yang benar-benar layak dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

AP terbuka diberikan kepada syarikat Bumiputera

Selain itu juga, memandangkan terdapat tuduhan mengenai wujudnya kroni-kroni dalam pemberian AP ini maka senarai nama penerima AP harus didedahkan seperti yang disyorkan oleh Tun Dr Mahathir. Dengan ini, pihak-pihak tertentu boleh melihat ketelusan dalam pemberian AP tersebut sekaligus dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

Oleh itu, langkah kerajaan untuk meneruskan dasar AP terbuka ini dilihat dapat membantu pengusaha Bumiputera yang terlibat dalam industri automotif negara namun perlulah diberikan penambahbaikan agar selari dengan peredaran zaman. Melalui pemberian AP terbuka ini, sedikit sebanyak ia melindungi hak keistimewaan masyarakat Melayu dan Bumiputera dan ia selaras dengan manifesto kerajaan PH yang ingin memberi penumpuan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu serta Bumiputera agar wujud sebuah bangsa yang boleh bersaing secara sihat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here