Kalau dahulu, dengar sahaja perkataan ‘gig’ kita pasti akan terfikirkan mengenai aliran muzik. Namun, kini boleh dikatakan sebahagian besar daripada kita masih tidak tahu dan biasa dengan perkataan ‘gig’ ekonomi. Di negara barat, gig ekonomi sudah pun popular sejak 10 tahun yang lalu.

Namun, berlainan di Malaysia apabila ia baru berkembang semenjak setahun dua kebelakangan ini. Gig ekonomi adalah sebuah model ekonomi yang memerlukan organisasi atau perniagaan beroperasi dengan bergantung kepada pekerja bebas. Ia juga merupakan sebuah model ekonomi yang memerlukan pekerja dan peniaga menggunakan sistem kontrak atau projek untuk aktiviti perniagaan mereka.

Gig ekonomi semakin mendapat tempat di Malaysia

Sehubungan itu, ini bermakna mereka yang terlibat dengan gig ekonomi ini adalah sekumpulan inidividu yang mempunyai pekerjaan sementara atau fleksibel. Perniagaan dalam talian, grab dan uber serta freelance (separuh masa) adalah antara contoh konsep gig ekonomi.

Pada dasarnya, gig ekonomi sudah berkembang di negara barat dan eropah sejak 10 tahun yang lalu. Namun, kini di Malaysia ia semakin berkembang seiring dengan platform teknologi digital. Penerimaan rakyat Malaysia mengenai gig ekonomi juga semakin positif. Maka, tidak hairanlah sekiranya ianya akan terus berkembang pada masa akan datang.

Penerimaan konsep gig ekonomi di Malaysia juga menunjukkan satu perkembangan yang baik pada negara kerana secara tidak langsung ia membantu merancakkan lagi ekonomi negara. Selain itu, ianya tidak mengejutkan sekiranya pada masa hadapan Malaysia seiring dengan negara maju di mana sektor perkhidmatan mampu menyumbang peratus terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Penerimaan dan perkembangan gig ekonomi di Malaysia jelas membuktikan bahawa ianya sememangnya memberikan impak positif. Kewujudan gig ekonomi di Malaysia menjadi jawapan kepada sesetengah individu yang ingin mencari pendapatan tambahan di luar waktu kerja.

Grab dan uber merupakan contoh konsep gig ekonomi

Selain itu, mereka yang terlibat juga mempunyai masa yang lebih fleksibel mengikut kelapangan masing-masing tanpa terikat seperti waktu pejabat. Ini memberikan sebab kukuh buat mereka yang ingin melibatkan diri dalam gig akademik. Para pelajar, suri rumah dan graduan adalah golongan yang semakin mendekati gig ekonomi bagi menanggung kehidupan seharian.

Secara keseluruhannya, gig ekonomi ini akan membuka ruang yang lebih besar kepada perkembangan ekonomi rakyat Malaysia dan negara. Selain itu, ia juga boleh menjadi salah satu inisiatif terbaik buat kebanyakan orang masa kini. Namun, tidaklah mengejutkan sekiranya terdapat individu yang sanggup berhenti daripada profesion profesional. Oleh itu, untuk masa akan datang kerajaan boleh mewujudkan satu undang-undang dan peraturan bagi mengawal selia pihak yang terlibat supaya semua pihak mendapat manfaat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here