Kemelut politik yang berlaku pada hari ini seolah-olah tiada kesudahan. Mana tidaknya, seorang hendak selamatkan tengkuk dari kes yang terkait manakala seorang lagi nak mengejar jawatankuasa. Mana perginya sikap kepimpinan yang dibawa? Adakah mandat yang diberikan oleh rakyat telah diperjudikan mereka?
Pelbagai soalan yang lahir dengan kerisauan yang terbuku dihati tatkala pandemik COVID-19 masih menghentam dunia hampir dua tahun dan sektor ekonomi terutama peniaga-peniaga kecil kekal terjejas. Paling menyedihkan ada dikalangan mereka terpaksa menggulung tikar akibat pembekuan sektor ekonomi yang suram serta tiada sambutan disebabkan wabak maut. Apa bakal terjadi dengan nasib kita sebagai rakyat? Adakah nasib rakyat bagai dihujung tanduk ini akan dibiar sebegitu saja tanpa pembelaan kerana perebutan kuasa ini!!
Lebih menyedihkan usaha program vaksinasi dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) seakan hilang arah kebelakangan ini berikutan kepimpinan negara dihimpit tekanan kemelut politik yang tiada kesudahan. Berikut merupakan kenyataaan dari pakar kesihatan, pekerjaan, kecemasan dan kesihatan am, Dr. Hanafiah Bashirun. Perkara tersebut sudah tentu akan mempengaruhi tindakan kawalan penyakit berjangkit secara langsung atau tidak dan lebih parah lagi memberi kesan kepada rakyat.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed turut melontarkan pandangan beliau yang menyebut, keghairahan pemimpin politik terhadap perebutan kuasa dan pertikaman lidah kononnya memperjuangkan demi rakyat sangat mendukacitakan kerana hakikatnya semakin ramai menderita akibat pandemik ini.
Di saat ini, kuasa dan pentadbiran negara telah menyebabkan ahli politik alpa akan perjuangan sebenar iaitu mengeluarkan negara dari pandemik COVID-19 dan nasib rakyat pula bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana kesakitan terpaksa dihadapi buat kali kedua ditambah lai dengan kemelut politik yang tidak menentu memberi tekanan buat rakyat. Jelas sekali, perjuangan ahli politik hari ini juga tidak seiring dengan kesukaran yang dialami rakyat.
Natijahnya ahli politik bukan sahaja menganggu kesejahteraan negara dan merugikan rakyat malahan mengelirukan penjawat awam yang terpaksa menjadi korban disebabkan sikap mereka. Bukankah mereka sepatutnya bersatu padu dalam menangani cabaran pandemik ini. Justeru itu, elakkan lah sikap yang sia-sia hanya kerana perbezaan ideologi politik bahkan guna kan lah medium serta peluang sedia ada sebaik-baiknya bagi menangani bersama COVID-19 yang semakin mengganas di seluruh dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here