Berita mengenai penutupan operasi empat hotel Tabung Haji (TH) mengundang kecaman dari masyarakat Malaysia. Lebih parah, isu ini dipolitikkan sesetengah pihak terutamanya blok pembangkang yang sengaja ‘menyimbah minyak ke atas api yang marak’ dengan menyelar tindakan kerajaan hari ini yang seakan tidak peduli dengan nasib umat Islam di Malaysia.

Namun, TH bertindak pantas menangani isu ini apabila mengeluarkan siaran akhbar dengan memberi penerangan terhadap situasi semasa yang berlaku pada ketika ini. TH menjelaskan operasi keempat-empat hotel tersebut tidak ditutup sebaliknya dipindahkan pengurusannya ke atas UJ Property Manangement Sdn Bhd berkuat kuasa 1 April 2020. Pengambilalihan operasi hotel ini merupakan sebahagian daripada pemindahan 29 aset hartanah TH yang bernilai RM9.63 bilion.

Siaran akhbar Tabung Haji mengenai isu operasi rangkaian hotel di bawah pengurusannya

Jika dilihat, isu pemindahan pengurusan aset- aset TH kepada UJ Property Manangement Sdn Bhd merupakan sebahagian kesan daripada impak yang berlaku terhadap situasi semasa ekonomi negara pada ketika ini. Hal ini kerana kedudukan kewangan yang tidak stabil selain pergerakan ekonomi yang lembab hingga menyebabkan TH tidak berjaya menghasilkan keuntungan sebaliknya kerajaan terpaksa menanggung kerugian dari segi kos pelaksanaan demi menyelesaikan kemelut kewangan yang tidak ditadbir secara telus oleh pengurusan sebelumnya.

Berdasarkan pemerhatian ke atas beberapa laman sosial, sebahagian netizen beranggapan bahawa tindakan itu tidak patut dilakukan kerana UJ Property Manangement Sdn Bhd merupakan anak syarikat Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJ) milik penuh Kementerian Kewangan di bawah kendalian Menterinya, Lim Guan Eng. Bagi mereka, harta orang Islam tidak harus diuruskan oleh orang yang bukan Islam kerana dikhuatiri akan berlakunya kepincangan terhadap urus libat harta yang kemudiannya menyebabkan hak orang Islam dicabuli.

Pengurusan Tabung Haji disarankan agar tidak lepas tangan mengenai kemelut ini

Walau bagaimanapun, sebahagian responden turut memberikan pandangan berbeza terhadap isu ini. Ada di antara mereka bersetuju sekiranya pengurusan aset-aset ini diuruskan oleh Kementerian Kewangan kerana ia merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Semula dan Penstrukturan. Ini bagi mengurangkan komitmen kerajaan dalam menangani kemelut kewangan TH selain memberi ruang penyusunan semula pelan tindakan yang efektif dalam usaha memperkemaskan pentadbiran harta TH sendiri.

Dalam isu ini, tindakan kerajaan terhadap pemindahan aset-aset TH dilihat sebagai satu langkah yang stabil. Namun begitu, pihak pengurusan TH disarankan agar tidak lepas tangan dalam soal ini. Walaupun UJ telah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 bilion dan membayar RM300 juta untuk transaksi ini, ia bukanlah alasan untuk membiarkan pengurusan harta umat Islam diuruskan sewenang-wenangnya oleh kelompok yang kurang arif dalam harta Islam.

Mungkin sedikit panduan harus diberikan sebagai mendium kepada mereka dalam memahami cara urus tadbir harta yang melibatkan hukum dan syarak. Ini penting dalam memelihara ‘kebersihan’ harta tersebut agar tidak disalurkan dan menerima saluran daripada sumber-sumber yang haram atau syubhah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here