Umum mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Negeri Sabah akan memperkenalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) di negeri tersebut berkuatkuasa 1 Jun 2020. Untuk info, PSS adalah pengenalan diri baharu bagi warga asing yang sudah lama menetap di Sabah bagi menggantikan tiga dokumen lama yang pernah dikeluarkan sebelum ini iaitu Kad Burung-Burung, Sijil Banci dan kad IMM13.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini mendapat kritikan hebat dari pelbagai pihak termasuk masyarakat di negeri bawah bayu itu. Bagi mereka, pelaksanaan ini akan menggalakkan lebih banyak pendatang tanpa izin (PTI) memasuki ke negeri tersebut dan ini akan menyebabkan mereka terpaksa bersaing dalam segala hal tidak kira dari segi perniagaan, pekerjaan buruh, pendidikan dan sebagainya. Menurut mereka, sekiranya pelaksanaan ini tetap diteruskan, ia ibarat menganaktirikan penduduk kelahiran Sabah sendiri.

Kerajaan Negeri Sabah bakal melaksanakan sistem PSS berkuatkuasa 1 Jun 2020

Selain itu, isu ini juga mendapat pertikaian kerana pelaksanaannya yang tidak jelas dan dibuat secara terburu-buru. Hal ini boleh dilihat apabila pengumuman pelaksanaan ini dibuat tanpa wujudnya sesi libat urus (engagement) yang menyeluruh di kalangan rakyat, dan tanpa sebarang maklumat yang mencukupi.

Namun begitu, satu hal yang harus diketahui bahawa pelaksanaan pas ini telah dimulakan di zaman kerajaan terdahulu melalui Minit Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Sabah pada tahun 2016 dengan nama Pas Residen Sementara Sabah. Jadi, isu ini bukanlah satu isu yang baru, mungkin dari pelaksanaannya sahaja dilihat terburu-buru hingga menimbulkan sedikit ketegangan terhadap warga negeri Sabah.

Rakyat negeri Sabah mengadakan perhimpunan “Black Sunday” sebagai tanda bantahan terhadap pelaksanaan PSS

Adakah pelaksanaan ini akan memberi impak kepada Sabah? Mungkin ya sekiranya dilaksanakan dalam satu jangka masa yang panjang. Antara impak yang boleh dilihat adalah dari sudut tenaga kerja, boleh dikatakan, majoriti daripada mereka menguasai industri buruh dan juga perniagaan di semua wilayah negeri Sabah. Ini memberi kesan terhadap pembangunan ekonomi rakyat tempatan yang kebanyakannya hidup dalam keadaan sederhana dan miskin kerana persaingan dari PTI.

Di samping itu, ia juga memberikan impak dari segi keselamatan sempadan di negeri tersebut seterusnya memberikan kesan negatif kepada penduduk tempatan. Hal ini menjurus terhadap sejauh mana ketelusan dalam proses pengagihan PSS yang dilakukan oleh kerajaan agar tidak terjadinya sebarang penyelewengan. Ini kerana jenayah pemerdagangan manusia boleh saja terjadi apabila ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas pengagihan PSS tersebut.

Dalam hal ini, kerajaan disarankan untuk melakukan kajian secara menyeluruh dan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan. Ini kerana ia bukan saja melibatkan pembangunan ekonomi tetapi ia juga menyentuh tentang aspek keselamatan warga tempatan. Seharusnya kementerian yang terlibat meneliti secara halus tentang keperluan PSS di Sabah secara efisien, ini bagi mengelakkan kebanjiran PTI yang mungkin boleh menimbulkan ketegangan di negeri bawah bayu itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here