Sikap sesetengah pihak yang cuba menghina Institusi Beraja kini semakin berani apabila satu akaun Facebook (FB) ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ telah memuat naik gambar Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Abdullah yang disunting dalam keadaan mengaibkan. Pemilik akaun tersebut juga turut memuat naik beberapa wajah Sultan seperti Sultan Terengganu Sultan Mizan, Sultan Johor Sultan Ibrahim, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizuddin Shah.

Perbuatan biadap oleh pemilik akaun berkenaan itu juga turut menggunakan kata-kata menghina dan mencerca YDPA dengan sengaja untuk menimbulkan kemarahan ramai pihak. Malah, akaun tersebut cuba memutarbelitkan sejarah negara dengan maklumat tidak betul bagi mengelirukan orang lain khususnya rakyat negeri Sabah dan Sarawak.

Di samping itu, akaun FB itu telah mencetuskan kemarahan ramai pihak kerana menghina kedaulatan Institusi Beraja dalam negara ini dan sebanyak 209 laporan telah diterima pihak polis yang menuntut pelaku diberkas dengan segera. Perbuatan pemilik akaun itu seperti sengaja meniupkan api perkauman dan berselindung di sebalik media sosial menggunakan nama Sabah Sarawak seperti kononnya pemilik akaun tersebut datang dari negeri Kepulauan Borneo.

Akaun Sabah Sarawak Merdeka kini telah digantung kerana mengandungi isu sensitif

Persoalan juga terjadi tentang sikap pemilik akaun FB itu sama ada ianya bermotifkan politik atau perkauman. Beberapa akaun media sosial milik parti-parti politik telah mula menuding jari menyalahkan satu sama lain bagi membersihkan nama masing-masing dari perkara ini. Jika ada sesetengah pihak menjadikan perkara ini sebagai permainan politik, ianya boleh menjejaskan perkembangan politik negara dengan kandungan jahat dan menyakitkan hati.

Selain itu, pihak polis juga tidak menolak kemungkinan akaun FB itu dimiliki oleh warga asing yang cuba menimbulkan provokasi di negara ini. Sebelum ini juga terdapat beberapa akaun media sosial milik warga asing dengan sengaja menghina Agong untuk menimbulkan kemarahan rakyat negara ini. Mereka mungkin mahu menjadikan isu Sabah Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai bahan untuk menyerang kerajaan Malaysia serta mahu mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini kerana kandungan di dalam akaun tersebut dilihat sengaja untuk memecahbelahkan keharmonian negara dengan menyerang Institusi Beraja yang menjadi pelindung kepada kesejahteraan rakyat selama ini. Secara tidak langsung rakyat pasti akan marah jika ada pihak cuba untuk menyentuh kedaulatan Raja-raja Melayu yang dianggap sebagai perkara sensitif kepada rakyat.

Menjadi tugas sebagai rakyat Malaysia untuk menjaga kedaulatan Raja-raja Melayu

Oleh kerana itu, pihak berkuasa dan kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mencari pemilik akaun FB tersebut dengan segera bagi mengelakkan lebih banyak kandungan tidak bermoral tersebar di laman media sosial. Rakyat juga disarankan untuk tidak berkongsi sebarang kandungan akaun FB itu kerana ianya boleh menggugat perpaduan serta kestabilan kaum.

Kedaulatan Institusi Beraja perlu dijaga dengan baik oleh rakyat Malaysia dan perkara-perkara sebegini tidak harus berlaku lagi. Kini semakin banyak pihak tidak bertanggungjawab cuba untuk mencemarkan nama Raja-raja Melayu dan ia menjadi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk terus menjaganya dari terus dicemari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here