Pada 4 Julai lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019 bagi memansuhkan kesalahan berkaitan protes jalanan dan perbuatan itu tidak lagi menjadi kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan pindaan pada peringkat Jawatankuasa, iaitu Fasal 4, bertujuan meminda Seksyen 9 Akta 736 untuk memendekkan tempoh pemberitahuan bagi suatu perhimpunan daripada tujuh kepada lima hari.

Namun, perkara ini mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim yang menganggap tindakan meminda akta ini tidak akan membawa sebarang perubahan dalam kepimpinan kerajaan. Malah, beliau membandingkan apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini tidak ubah seperti kerajaan dahulu.

Tujuan pemindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 dilakukan bagi melindungi keselamatan awam daripada rusuhan ganas

Di samping itu, beliau juga membangkitkan tentang isu pelaksanaan manifesto kerajaan PH yang antaranya ingin memansuhkan APA 2012 sebaik sahaja diangkat menjadi kerajaan. Oleh itu, beliau dengan lantangnya mencabar kerajaan dalam melakukan perubahan besar dengan memansuhkan akta tersebut agar para rakyat dapat melakukan perhimpunan aman tanpa ada ikatan undang-undang.

Jika dilusuri kembali sejarah pembentukan akta ini, semuanya bermula daripada idea pembangkang sendiri pada ketika itu. Mereka merasakan akta ini perlu digubal bagi melindungi ketenteraman awam dan kepimpinan kerajaan. Jadi, mengapa pula ketika ini mereka sendiri meminta akta tersebut dimansuhkan? Adakah kerana ingin membuktikan cara pembangkang hari ini lebih “suci” dari pembangkang dahulu? Walaupun wakil rakyat tersebut menyifatkan penggubalan akta tersebut adalah disebabkan pembangkang dahulu mempunyai “perangai”, akan tetapi keadaan masih juga tidak berubah dan sama seperti dahulu.

Sekiranya akta ini dimansuhkan, ia semestinya akan mendatangkan kesan dan impak yang besar terhadap negara dan keselamatan awam. Antara kesan yang ketara boleh dilihat akibat tindakan pemansuhan tersebut adalah dari segi perkembangan ekonomi. Hal ini kerana rasa takut dan khuatir para pelabur asing dalam menjalankan urusniaga pelaburan di negara ini yang akan menyebabkan kerugian besar akibat tindakan rusuhan yang sering terjadi.

Selain itu, pendapatan negara juga turut terjejas akibat kurangnya kehadiran para pelancong ke negara ini. Mereka merasakan Malaysia bukanlah suatu destinasi percutian yang selamat kerana rusuhan yang terjadi akibat daripada pemansuhan akta tersebut. Seperti yang diketahui, antara penyumbang terbesar dalam pendapatan negara adalah dari sektor pelancongan selain sektor pertanian dan perladangan. Jadi, sudah tentu pemansuhan akta ini akan menyebabkan pendapatan negara semakin kurang yang akan merencatkan pembangunan ekonomi negara.

Cadangan pemansuhan Akta Perhimpunan Aman 2012 oleh Ahli Parlimen Arau dilihat sebagai cadangan yang tidak munasabah

Secara konklusinya, APA 2012 tidak wajar dimansuhkan demi keamanan negara, tetapi langkah pemindaan beberapa fasal yang dibuat oleh kerajaan amatlah wajar dalam memastikan hak untuk rakyat bersuara tidak dipinggirkan seperti yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan setiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara dan berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

Cadangan memansuhkan APA 2012 ini dilihat sebagai salah satu idea ‘semberono’ pihak pembangkang dalam meraih kembali sokongan politik daripada rakyat. Hal ini kerana akta ini digubal sendiri oleh pihak pembangkang semasa mereka menjawat jawatan dalam kerajaan. Jika dahulu semasa ianya dikuatkuasakan kejadian rusuhan masih tidak dapat dikawal, apa lagi sekiranya dimansuhkan. Sudah pasti lebih banyak kejadian rusuhan yang ekstrem boleh berlaku dan keselamatan serta kententeraman awam akan berada di ambang bahaya.

Keselamatan rakyat Malaysia terletak di tangan pimpinan kerajaan. Sekiranya kerajaan memansuhkan akta ini serta-merta tanpa pertimbangan yang sewajarnya, nescaya akan ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk memanipulasikan keadaan supaya bertambah tegang dan lebih banyak rusuhan yang akan terjadi hingga akhirnya semua kesalahan tersebut dituding kepada pucuk pimpinan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here