Baru-baru ini negara kecoh dengan penyebaran gambar susunan botol minuman keras yang dikatakan sudah mulai dijual secara berleluasa. Menurut sumber, gambar itu dipercayai diambil di sebuah kedai serbaneka dan disebarkan ke dalam semua pautan laman sosial pada petang kelmarin. Persoalannya, sejak bila minuman keras kini boleh dijual secara berleluasa?

Namun, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar minuman keras terbabit berkata, produk minuman malt tanpa alkohol itu hanya disasarkan kepada pengguna bukan Islam dan berusia 21 tahun ke atas sahaja. Selain itu, penjualan produk tersebut dikatakan dapat memberi pilihan kepada mereka untuk menikmati minuman tersebut tanpa kesan alkohol.

Gambar arak tanpa alkohol yang tular pada minggu lalu

Jika dibandingkan dengan cara penjualan alkohol dahulu dan kini, terlalu banyak bezanya. Walaupun penjualan ini dikawal oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Akta Kastam 1967 (Akta 235) dan Akta Eksais 1976 (Akta 176) dan dikecualikan kepada peniaga lesen jualan runcit, ia masih tetap dilakukan secara tertutup dan tidak diletakkan di tempat yang terbuka hingga boleh mendatangkan kekeliruan terhadap pengguna Islam.

Berbeza dengan zaman kini di mana ia mulai dijual secara terbuka tanpa kawalan pihak-pihak tertentu. Hal ini kerana kurangnya sensitiviti masyarakat terhadap isu mengenai halal dan haram sesuatu produk tanpa merujuk kepada ahli yang pakar. Asalkan tidak mendatangkan kemudaratan terhadap tubuh badan, semuanya boleh dimakan tanpa mengambil kira cara pemprosesannya.

Selain itu, kurangnya kawalan oleh pihak berkuasa tempatan juga menjadi faktor mengapa penjualan arak ini semakin berleluasa. Ini mengakibatkan pihak-pihak tertentu semakin berani menonjolkan sikap sebenar mereka dalam mempromosikan minuman keras kepada masyarakat terutamanya generasi muda.

Isu ini mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang menyifatkan cara pengiklanan syarikat tersebut sebagai tidak wajar dan mengelirukan. Beliau juga turut menasihatkan syarikat berkenaan agar lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia terutamanya pengguna beragama Islam. Ini kerana proses penghasilan minuman itu, termasuk penyulingan air, dibuat dalam kerangka menghasilkan arak.

Walaupun produk berkenaan sudah dilabelkan ‘tiada alkohol’ dan datang dari pengilang arak, ia masih boleh menimbulkan kekeliruan dan boleh menyebabkan umat Islam menganggap produk tersebut adalah bersih dan boleh digunakan. Sebagaimana yang diketahui, arak dan segala jenis makanan dan minuman beralkohol yang memabukkan adalah difatwakan haram. Malah, di dalam Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud turut menyatakan “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram.”.

Akibat daripada penggunaan yang kerap akan menimbulkan kesan sampingan berikut

Apabila sesuatu bahan haram dimasukkan ke dalam badan terlalu kerap, ia akan mendatangkan kesan sampingan jangka panjang. Sebagai contoh, arak. Jika ia kerap diminum, ia akan mengakibatkan kerosakan buah pinggang secara perlahan-lahan. Walaupun tandanya tidak jelas kelihatan, tetapi sedikit demi sedikit kesihatan pengamalnya akan merosot dan peluang untuk sembuh amat tipis.

Dalam perkara ini, kerajaan dan pihak berkuasa disarankan mencari jalan yang komprehensif bagi menangani isu tersebut. Kerajaan haruslah mewartakan satu undang-undang baharu terhadap perlesenan minuman tanpa alkohol ini agar ia setara dengan penjualan alkohol yang lain. Hal ini amat penting dalam memelihara kemaslahatan umat Islam di negara ini agar tidak terkeliru dengan produk yang tidak diketahui sumber asal, tahap kebersihan dan cara pembuatannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here