Hampir setiap hari ada sahaja berita mengenai rakyat Malaysia ditipu hampir ratusan ribu ringgit terpapar di media sosial dan media arus perdana. Terdapat pelbagai jenis sindiket penipuan yang semakin berleluasa di Malaysia dan antara yang semakin aktif beroperasi adalah sindiket penipuan pekerjaan. Selain itu, ke semua jenis penipuan dalam talian juga dikenali sebagai Macau Scam.

Siapa sahaja yang tidak gembira apabila menerima tawaran pekerjaan lebih-lebih lagi jika telah menunggu untuk satu tempoh yang lama. Proses temuduga untuk mendapatkan pekerjaan juga bukanlah sesuatu yang mudah di mana setiap calon perlu bersaing dengan ratusan calon yang lain serta menyakinkan majikan untuk diterima bekerja. Oleh itu, berita diterima dan ditawarkan pekerjaan sudah pasti satu khabar yang ditunggu-tunggu oleh mana-mana individu.

Persaingan yang hebat untuk mendapatkan pekerjaan pada masa kini antara faktor mengapa sesetengah individu terlalu teruja apabila ditawarkan pekerjaan tanpa menyedari bahawa mereka telah ditipu sindiket penipuan pekerjaan. Sindiket penipuan pekerjaan adalah satu sindiket yang memperdayakan mangsa dengan menawarkan pekerjaan kepada mangsa dengan tawaran gaji yang tinggi.

Masyarakat perlu lebih peka terhadap kesahihan tawaran pekerjaan

Selain itu, sindiket ini juga adalah antara sindiket baru yang kian meningkat di mana mereka menggunakan modus operandi media sosial untuk memperdayakan mangsa. Selain daripada tawaran gaji yang lumayan, mangsa juga akan diminta melalui sesi temuduga di kedai kopi sebelum dilatih dan dihantar ke luar negara untuk bersubahat dengan sindiket tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai jenis penipuan yang dilakukan oleh sindiket penipuan pekerjaan ini bagi mendapatkan wang secara paksa daripada mangsa.

Di samping itu, bagi memastikan taktik penipuan mereka sukar dihidu, ahli sindiket kebiasaannya akan mengiklankan tawaran kerja di dada akhbar dengan menyatakan kemudahan serta gaji yang lumayan bagi menarik minat orang ramai untuk menghubungi mereka. Taktik ini juga digunakan untuk menjerat mangsa supaya berkerja dengan syarikat terbabit tanpa melalui proses pengambilan yang rumit.

Berdasarkan daripada kes-kes yang pernah dilaporkan, kes sindiket penipuan pekerjaan di Malaysia kini boleh dikatakan berada di tahap yang serius. Antara kes yang mendapat perhatian baru-baru ini adalah kes penahanan 47 orang rakyat Malaysia di Kemboja. Selain itu, terdapat juga kes-kes yang dilaporkan melibatkan graduan yang baru menamatkan pengajian menjadi mangsa pelaburan palsu selepas ditawarkan pekerjaan. Selain daripada media sosial, sindiket ini juga mencari mangsa melalui panggilan secara rawak.

Walaupun pelbagai kempen dan peringatan telah dilakukan, sehingga kini mangsa penipuan sindiket ini terus meningkat saban tahun. Jenayah sindiket penipuan pekerjaan ini secara tidak langsung akan memberikan kesan negatif kepada negara khususnya kepada mangsa itu sendiri. Peningkatan jumlah kes sindiket ini telah menunjukkan ia adalah salah satu kelemahan pentadbiran negara di mana ia mampu memberikan gambaran buruk kepada negara luar.

Jenayah sindiket penipuan perlu di banteras habis-habisan

Selain itu, mangsa penipuan juga berpotensi untuk mengalami tekanan hidup yang tinggi. Hal ini kerana kerugian atau trauma yang dialami oleh mangsa sudah pasti memberi kesan kepada emosi dan motivasi mangsa. Selain itu, sekiranya mangsa penipuan mengalami kerugian yang banyak sehingga kehilangan keseluruhan wang simpanan, sudah pasti kehidupan serta perancangan masa hadapan juga turut terjejas akibat daripada menjadi mangsa penipuan tersebut.

Oleh itu, adalah penting supaya semua pihak terus mengambil langkah secara proaktif bagi mengingatkan masyarakat kita supaya lebih peka terhadap mana-mana sindiket penipuan seperti ini. Sebagai contoh, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu memantau media sosial dengan lebih terperinci sekiranya terdapat tawaran pekerjaan yang mencurigakan diiklankan di media sosial. Syarikat-syarikat media cetak juga perlu lebih prihatin dan bertanggungjawab supaya memastikan adakah syarikat yang ingin mengiklankan pekerjaan di akhbar mereka benar-benar wujud.

Selain daripada usaha kerajaan, masyarakat sendiri perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan bahawa tawaran pekerjaan yang diterima adalah sah. Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih berwaspada dengan sindiket yang mengiklankan tawaran pekerjaan terutamanya yang menjanjikan pendapatan lumayan dan tawaran menarik yang luar biasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here