Di saat kerajaan menekankan isu pengharaman merokok di tempat awam dan undang-undang tegas akan diambil terhadap golongan ini, namun isu kemalangan yang disebabkan pemandu mabuk seperti tidak mendapat perhatian yang serius.

Antara mangsa kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk

Sejak kebelakangan ini, kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain semakin menjadi-jadi. Jun lalu, seorang penjual nasi lemak meninggal dunia setelah gerainya dirempuh oleh pemandu mabuk. Terbaru, tiga orang penunggang motosikal telah dilanggar oleh pemandu yang mabuk sehingga menyebabkan dua orang parah dan meragut satu nyawa.

Berapa ramai lagi nyawa orang yang tidak bersalah perlu terkorban akibat sikap tidak bertanggungjawab pemandu mabuk sebelum pihak berkuasa menghadkan penjualan dan pengambilan arak?

Walaupun semua sedia maklum bahawa arak mendatangkan pelbagai musibah, namun kerajaan masih belum mengeluarkan undang-undang mengharamkan penjualan dan minuman arak di tempat awam.

Seharusnya penjualan arak diharamkan di Malaysia

Sebanyak 191 kes kematian berpunca daripada pemanduan mabuk direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2018 manakala terdapat 212 kes pada 2017. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa arak yang memabukkan menjadi bencana kepada orang awam. Seharusnya penjualan arak di Malaysia perlu dihentikan dan undang-undang sedia ada perlu diperketatkan.

Namun, apa yang lebih penting adalah kesedaran individu bahawa arak mendatangkan kemudaratan. Jika individu tidak dapat menghalang diri daripada ketagihan arak, sekurang-kurangnya mereka patut menggunakan kenderaan awam agar dapat mengelakkan diri daripada memandu dalam keadaan mabuk sekaligus dapat mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Seharusnya isu pemandu mabuk dan penjualan arak ini perlu diambil serius oleh kerajaan. Pengambilan dan penjualan arak yang tidak terkawal hanya mengundang bencana kepada orang awam. Undang-undang yang ketat perlu diperkenalkan agar dapat melindungi masyarakat daripada pemandu mabuk yang menjadi punca kemalangan maut di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here