Politik wang merupakan virus politik yang berlaku di negara ini dengan mengambil cara mudah untuk menagih undi rakyat memberi sokongan kepada parti politik masing-masing. Perkara ini sering berlaku bagi mana-mana parti politik sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang. Malah, masalah politik wang juga terjadi ketika Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Kecil (PRK) dan juga dalam pemilihan parti.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila politik wang telah berlaku ketika kempen PRK Cameron Highlands di mana wakil dari Pakatan Harapan (PH) disyaki mengagihkan wang tunai kepada pengundi dari kalangan Orang Asli di Cameron Highlands. Ia jelas melanggar Seksyen 10 Akta 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan menyogok bagi mendapatkan undi ketika pilihan raya.

PRK Cameron Highlands mendapat perhatian ramai selepas kontroversi ‘duit minyak’ kepada Orang Asli

Insiden tersebut menunjukkan budaya politik wang masih tersebar luas di negara ini dan ahli politik masih ‘memejam sebelah mata’ dengan undang-undang sedia ada demi kepentingan masing-masing. Malah pemberian habuan dalam merebut undi dalam pemilihan parti juga menunjukkan tidak ada ketelusan yang rakyat harapkan kerana istilah ‘who give the most, got the post’. Apabila perkara ini terjadi, sesiapa pun boleh menjadi pemimpin jika mereka mempunyai wang yang banyak walaupun tidak mempunyai nilai dan sifat kepimpinan yang baik. Akibatnya ‘kapal’ dikemudi akan karam kerana nakhoda yang lemah.

Oleh itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Penjegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melihat perkara ini dengan lebih serius bagi membendung masalah ini dari terus menular. SPR dan SPRM perlu bekerjasama dengan menghantar wakil dari kedua-dua jabatan tersebut untuk berada dalam kempen PRK atau PRU serta pemilihan parti. Jika SPR dan SPRM menghantar wakil ketika kempen, mereka boleh memantau aktiviti untuk melihat jika ada salah laku politik wang berlaku.

Jika terdapat salah laku politik wang terjadi ketika wakil parti politik berkempen, pihak SPR boleh membatalkan penyertaan parti politik tersebut dalam pilihan raya dan SPRM boleh menahan individu yang melakukan sogokan kepada rakyat. Ia sekurang-kurangnya dapat menunjukkan ketegasan dalam menolak sebarang perbuatan rasuah dalam pilihan raya.

SPRM perlu bertindak tegas membasmi aktiviti sogokan duit bagi mendapat undi oleh parti politik

Di samping itu, kerajaan harus berpendirian tegas untuk mengawal aktiviti politik wang ini dan rakyat perlu bersama-sama untuk melaporkan sebarang perbuatan rasuah kepada SPRM jika ianya terjadi. Undang-undang juga perlu diketatkan lagi dengan meletakkan hukuman berat kepada pesalah yang melakukan aktiviti politik wang.

Segala kenyataan tentang politik ‘cash is king’ terhadap kerajaan terdahulu menunjukkan ianya masih menular terhadap kerajaan sekarang dan ianya menimbulkan kebimbangan terhadap persepsi rakyat yang menolak politik wang. Kepimpinan 61 tahun telah tumbang kerana persepsi politik wang, tidak mustahil ianya boleh terjadi kepada kerajaan baru jika kerajaan tidak tegas dalam menghapuskan virus politik wang yang masih terjadi ini pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here