Dadah digital atau lebih dikenali sebagai ‘digital drug’ merupakan satu fenomena atau lebih tepat lagi satu ‘penyakit’ yang menular di kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini. ‘digital drug’ merupakan satu tabiat ketagihan terhadap gajet yang melampau, tidak keterlaluan jika dikatakan setiap seorang penduduk negara ini memiliki sekurang-kurangnya dua atau tiga buah telefon pintar untuk kegunaan mereka.

Jika dilihat, semua golongan tidak kira tua dan muda sangat memerlukan sebuah gajet untuk dijadikan alat hubungan mahupun hiburan. Namun, realitinya pengaruh ‘kokain elektronik’ ini bukan sahaja terkait dengan golongan dewasa, malah ia juga turut ‘berjangkit’ di kalangan kanak-kanak seawal usia dua tahun. Ini kerana trend terkini para ibu bapa yang mahu ‘mendiamkan’ anak-anak mereka dari berkelakuan hyperactive hingga akhirnya menyebabkan mereka terjebak dengan ‘digital drug’.

Penggunaan gajet di kalangan kanak-kanak hari ini berada pada tahap membimbangkan

Malah, ada di antara penemuan kajian di Malaysia menunjukkan penggunaan gajet secara berterusan boleh mengakibatkan pengecutan terhadap sistem saraf dan otak anak-anak secara serius selain boleh menggangu kemahiran sosial dan kemahiran bertutur di kalangan mereka. Perkara ini sememangnya sangat serius kerana ia secara terang-terangan merosakkan fungsi dalam tubuh badan kanak-kanak.

Menurut Kajian Pengguna Internet 2018 yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendapati tempoh masyarakat melayari internet di negara ini adalah 6.6 jam sehari dengan 93.1 peratus pengguna mengakses Internet melalui telefon pintar. Trend ini ternyata mendatangkan kebimbangan terhadap masyarakat Malaysia khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Ujar beliau, penggunaan Internet yang ekstrem boleh mengakibatkan pengguna menjadi ketagihan sehingga mengancam kesihatan fizikal dan juga mental.

Sejauh mana isu ini memberikan impak kepada negara? Cukup banyak. Antara impak yang jelas kelihatan adalah dari segi produktiviti. Memang benar seperti yang dinyatakan, walaupun permainan dalam talian (e-sukan) sudah menjadi trend terkini dan mampu menjana pendapatan sebanyak RM1 bilion, tetapi ia belum cukup untuk membantu dalam penghasilan pendapatan negara. Bukan sekadar itu, ketagihan terhadap gajet ini juga boleh mendatangkan persengketaan serta memecahbelahkan perpaduan di kalangan rakyat negara ini.

Peranan ibu bapa dalam meluangkan masa dengan aktiviti riadah bersama anak-anak bagi mengurangkan kebergantungan terhadap gajet

Oleh itu, langkah proaktif haruslah dilaksanakan semua pihak bagi menangani permasalahan kecanduan gajet di kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan belia dan kanak-kanak. Peranan ibu bapa, sekolah dan kerajaan juga amatlah penting dan antara langkah yang dirasakan agak sesuai dalam menangani isu ini adalah dengan memperbanyakkan aktiviti di sekolah yang melibatkan para guru dan ibu bapa. Dengan cara ini, anak-anak akan ‘terleka’ dengan dunia gajet mereka dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap aktiviti yang diadakan.

Di samping itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam menunjukkan ketegasan mereka terhadap gajet di kalangan anak-anak. Ibu bapa seharusnya berani menetapkan had masa kepada anak-anak mereka dalam penggunaan gajet. Sebagai contoh, ibu bapa harus mempunyai akses rahsia dalam mematikan data di gajet anak-anak mereka apabila sudah sampai masanya.

Dalam isu ini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang besar terhadap pembentukan akhlak dan sahsiah anak-anak mereka. Walaupun negara bergerak seiring dengan kecanggihan teknologi, tetapi bukan semua harus dipelajari menerusi kecanggihan gajet. Didikan secara formal juga perlu dalam membentuk keperibadian anak-anak supaya sahsiah peribadi dan kecanggihan teknologi bergerak seiring dalam diri mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here