Walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen pelarian 1951, tetapi negara ini merupakan antara negara yang paling banyak menerima pelarian, pencari suaka dan juga orang yang tidak bernegara. Itu adalah hakikat yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland pada 8 Oktober lalu.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh United Nations High Commissioner for Refugees (UNCHR), warga Myanmar merupakan antara kelompok terbanyak yang membanjiri negara ini dengan jumlah sebanyak 133,725 pada tahun 2017 dan jumlah ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Mengapa terjadinya hal seperti ini? Ada beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan permasalahan lambakan orang tidak bernegara di sesebuah negara.

Kebanjiran golongan ini sering sahaja mendatangkan masalah dalam negara

Antaranya adalah kerana pergolakan yang berlaku di negara asal mereka hingga akhirnya memaksa mereka untuk melarikan diri demi menyelamatkan nyawa dan kaum keluarga. Hal ini menyebabkan berlakunya kebanjiran warga asing yang tidak bernegara hingga akhirnya beranak-pinak di negara ini dan itu yang menjadi punca lambakan orang tidak bernegara di Malaysia.

Selain itu, faktor lain yang boleh dikaitkan dengan lambakan orang tidak bernegara ini adalah melalui perkahwinan yang tidak berdaftar. Ini terjadi apabila ada segelintir daripada pelarian ini yang berkahwin dengan warga tempatan tanpa sebarang dokumen yang sah sehingga menghasilkan keturunan dan tidak boleh didaftarkan. Akibatnya, anak-anak yang dilahirkan kekal tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Sekiranya hal ini berlarutan tanpa sebarang bantuan teknikal yang terperinci dari PBB, maka lebih banyak impak dan risiko yang akan melanda kepada sesebuah negara. Sebagai contoh, Malaysia yang kini menanggung beban kewangan dalam membiayai para individu yang tidak bernegara ini untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Ini sedikit sebanyak memberikan impak terhadap pembangunan ekonomi negara dan pergerakan matawang Malaysia.

Di samping itu, risiko lain yang dapat dilihat adalah dari soal keselamatan dan masalah sosial. Hal ini kerana kehadiran mereka yang tidak memperuntukkan hukum undang-undang di Malaysia membolehkan mereka membuat sesuatu perkara mengikut perasaan tanpa rasa bersalah. Ini semestinya akan mengundang ancaman terhadap warga tempatan dek kerana keganasan yang dilakukan oleh golongan tersebut.

Malaysia sentiasa menyatakan pendirian komitednya dalam menangani isu orang tidak bernegara

Walaupun Malaysia menyatakan pendirian komitednya dalam membendung isu ini, langkah yang efisien harus dilaksanakan oleh dunia dan PBB bagi mengelakkan perkara tersebut dari terus merebak dengan cepat hingga memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara-negara dunia lain. Di antara langkah yang dirasakan sesuai untuk dilaksanakan adalah dengan menyediakan satu pengenalan khas terhadap golongan ini dan dikendalikan oleh sebuah pasukan yang ditubuhkan untuk memantau perkembangan mereka.

Selain itu, langkah lain yang boleh dilakukan adalah dengan melantik negara-negara dunia lain untuk menyertai program ini. Melalui cara ini, ia dapat mengatasi lambakan orang tidak bernegara di negara-negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang maksimum dan tidak boleh dikawal seperti Malaysia dari segi kos tanggungan.

Dalam perkara ini, kerjasama di antara semua pihak amat diharapkan bagi membendung isu ini daripada terus melarat hingga mendatangkan beban kepada negara yang terlibat. Hal ini kerana sesebuah negara tidak mampu untuk menyediakan kos tanggungan kepada orang tidak bernegara selama-lamanya dan ini hanya akan mendatangkan lebih penderitaan kepada individu tersebut. Oleh itu, penyelesaian secara efisien harus difikirkan bagi mengelakkan berlakunya impak yang negatif kepada negara-negara yang terlibat sama ada dari segi ekonomi dan indeks kelestarian dan kemakmuran negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here