Pada zaman kini, masyarakat memiliki akses yang mudah kepada teknologi komunikasi seperti telefon pintar dan komputer riba yang membolehkan mereka melayari internet serta media sosial. Namun, terdapat segelintir pihak telah mengambil kesempatan dengan kemudahan ini dengan  mewujudkan satu gejala baru iaitu buli siber. Buli siber adalah perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks (SMS), chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet. Sebagai contoh, pembuli akan menghantar mesej atau memuat naik imej melalui emel, laman web, video, blog serta ruang chat dengan tujuan untuk menyakiti dan memalukan mangsa, yang pada akhirnya mangsa akan mengalami tekanan mental.

Buli siber di negara ini berada pada tahap yang serius pada ketika ini dan masyarakat perlu bersedia menghadapi ancaman ini. Jika tidak dibendung, ia akan menjadi ancaman kepada diri dan masyarakat kerana buli siber dikesan lebih bahaya berbanding buli secara fizikal memandangkan ia boleh dilakukan sesiapa sahaja tanpa kawalan di internet. Mangsa tidak kenal ‘’anonymity’’ disediakan melalui internet. Dengan ‘’penonton’’ yang ramai, kes membabitkan buli siber juga akan sentiasa berulang kerana bahan itu kekal di internet, sekaligus menyebabkan mangsa buli terus tertekan dan dalam sesetengah kes menimbulkan keinginan mangsa untuk membunuh diri.

Keratan Akhbar Berita Harian pada 2 Januari 2018: Ancaman buli siber semakin serius sehingga sanggup membunuh diri

Mangsa buli siber akan mengalami sindrom seperti enggan hadir ke sekolah, universiti atau pejabat, mengasingkan diri dari dunia luar, kemurungan malah ada yang cuba membunuh diri bagi menamatkan penderitaan yang mereka alami. Hal ini kerana, mangsa buli siber sentiasa memikirkan situasi mereka dibuli dan sering berada di dalam ketakutan lalu menyebabkan mereka menjadi pasif atau tidak ceria. Oleh itu segelintir mangsa buli siber mengambil keputusan bahawa satu-satunya cara untuk menghentikan kesengsaraan mereka adalah dengan membunuh diri.

Justeru isu buli siber ini perlu ditangani segera sebelum ia menjadi lebih serius sehingga menyebabkan kematian.  Terdapat beberapa kesan dan akibat buli siber antaranya mangsa buli siber boleh menghadapi ketakutan dan kemurungan akibat daripada perbuatan buli yang dihadapi. Mereka juga akan hilang keyakinan terhadap diri sendiri sehingga menyebabkan mangsa lebih suka menyendiri. Selain itu, mangsa juga sentiasa berasa takut dan gelisah untuk berhadapan dengan masyarakat serta orang ramai, sering bersedih atau murung, mudah marah terhadap sesuatu perkara malah kecenderungan untuk bunuh diri boleh berlaku akibat tekanan emosi yang melampau.

SIARAN AKHBAR BERSAMA: PDRM Dan MCMC Tingkatkan Usaha Untuk Memerangi Dan Membanteras Jenayah Siber Di Malaysia

Oleh itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melihat sama ada undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani masalah buli siber. Mereka juga akan mengambil langkah meminda undang-undang sedia ada sekiranya perlu bagi tujuan tersebut. Selain itu, kerajaan juga seharusnya mewujudkan agensi khas bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dan dijalankan dengan lebih teratur terutama membabitkan siasatan serta pendakwaan jenayah buli siber ini.

Kesimpulannya, semua pihak haruslah berganding bahu supaya isu siber buli ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin. Isu buli siber janganlah dipandang ringan memandangkan tidak mustahil dalam tempoh lima tahun lagi, pembuli siber boleh melibatkan pelaku kanak-kanak yang berusia 10 tahun seperti yang berlaku di negara maju, jika masalah ini terus dianggap remeh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here