Kewujudan internet dalam kehidupan seharian kita banyak mengubah cara kita meneruskan kelangsungan hidup termasuklah dalam urusan jual beli. Penggunanaan konsep e-dagang pada masa kini bukanlah perkara asing lagi buat usahawan-usahawan di Malaysia. E-dagang sebenarnya adalah urusan membeli dan menjual sesuatu produk atau servis oleh para usahawan kepada pengguna menggunakan internet melalui media elektronik.

Sehubungan itu, tidak dapat dinafikan bahawa peranan internet sememangnya memberi impak besar dalam membantu e-dagang berkembang pesat. Kecenderungan masyarakat masa kini yang lebih gemar menggunakan gadjet juga antara faktor yang menyumbang kepesatan penggunaan e-dagang di Malaysia.

Aktiviti membeli belah menerusi dalam talian bukan lagi satu perkara yang janggal. Maka, tidak hairanlah jika pada hari ini kita dapat lihat masyarakat Malaysia semakin berlumba-lumba untuk menjalankan perniagaan secara ‘online’. Penggunaan e-dagang juga dilihat cukup berhasil kerana produk yang dipasarkan dapat menghubungkan terus kepada pengguna akhir.

Pengguna sekarang lebih gemar membeli belah secara ‘online’

Selain itu, ia juga memberi kelebihan kepada para peniaga dalam mengurangkan kos sewaan premis dan kos pengiklanan. Di samping itu, aktiviti perniagaan atas talian ini juga turut memudahkan para pelanggan dengan menjimatkan masa dan tenaga. Hal ini kerana mereka hanya perlu membuat pesanan dan pembelian secara terus dalam talian tanpa mengunjungi premis.

Walau bagaimanapun, penggunaan e-dagang juga mempunyai kelemahan kepada peniaga seperti ketidakupayaan peniaga mempamerkan produk secara fizikal. Perkara ini akan menimbulkan keraguan pengguna untuk membeli kerana mereka tidak mendapat gambaran sebenar terhadap sesuatu produk tersebut.

Senario pembeli ditipu oleh peniaga atas talian juga bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana bermula Januari hingga Jun 2019 sahaja terdapat 11,393 kes penipuan transaksi atas talian yang telah dilaporkan. Ini membuktikan bahawa pengguna juga berhadapan risiko untuk menjadi mangsa penipuan. Hal ini kerana urusan jual beli atas talian memerlukan pengguna membuat pembayaran terlebih dahulu sebelum memiliki barang.

Kaedah e-dagang memberi kelebihan kepada peniaga

Kewujudan e-dagang sememangnya membawa banyak kelebihan kepada masyarakat di negara ini. Namun, disebabkan wujudnya individu yang tidak bertanggungjawab, pengguna e-dagang seharusnya lebih peka dan berwaspada dengan mengetahui maklumat peribadi penjual ketika membeli barangan secara atas talian ekoran daripada peningkatan kes seperti ini.

Oleh itu, bagi memastikan perkara seperti ini tidak mejadi semakin parah, kerajaan perlu tampil dengan pelan perancangan yang lebih positif seperti menguatkuasakan kepada semua peniaga ‘online’ untuk mempamerkan butiran diri mereka di laman jualan mereka. Selain itu, mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji keperluan untuk mewujudkan kerjasama pihak berkuasa bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau aktiviti peniaga ‘online’. Sementara itu, mungkin ini masanya untuk pihak berwajib melatih lebih ramai pakar dalam bidang Information Technology (IT).

Secara keseluruhannya, perkembangan e-dagang sememangnya sudah berada di tahap yang memberangsangkan. Penerimaan masyarakat dan peningkatan infrastruktur komunikasi juga telah memainkan peranan penting dalam penggunaan e-dagang di Malaysia. Oleh itu, trend yang berkembang secara positif ini tidak seharusnya dicemari oleh perkara negatif yang mampu menjejaskan perkembangannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here