Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng pada 11 Oktober lalu sedikit sebanyak membawa pelbagai perubahan berbanding bajet 2019. Sedar atau tidak, ini merupakan tahun kedua pembentangan bajet yang disempurnakan oleh Kerajaan Malaysia melalui Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Belanjawan 2020 ditafsirkan sebagai ‘Bajet Rakyat’

Jika dilihat, pembentangan bajet 2020 ini seakan memberi sinar baharu kepada rakyat Malaysia. Manakan tidak, segala peruntukan yang disediakan nyata cukup dan sangat membantu buat masyarakat di negara ini tanpa ada sebarang diskriminasi dan masalah ketirisan yang berlaku di dalam pembahagian peruntukan tersebut. Namun, masih terlalu awal untuk memberikan rumusan kerana pelaksanaannya masih lagi di peringkat awal dan ini merupakan ‘projek rintis’ pertama PH selepas hampir dua tahun memegang tampuk pemerintahan negara.

Apa yang pasti, pembentangan bajet kali ini memberikan kelebihan dan keistimewaan kepada masyarakat Malaysia. Dalam pembentangannya, Lim menegaskan bahawa kerajaan akan melaksanakan #MalaysiaKerja atau Malaysians@Work di mana ia dirangka bertujuan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia. Bukan itu sahaja, golongan seperti nelayan, petani dan peladang juga turut tidak terkecuali dari menerima hasil yang sama. Kerajaan menyediakan peruntukan yang amat besar kepada golongan terbabit di mana peruntukan sebanyak RM250 juta untuk program meningkatkan pendapatan peneroka FELDA, RM4.9 bilion untuk industri pertanian dan RM152 juta bagi Elaun Sara Hidup Nelayan secara keseluruhan.

Selain itu, kerajaan juga sedang berusaha untuk memodenkan lagi pasaran buruh dengan menambahbaik syarat-syarat pekerjaan seperti penambahan cuti bersalin dari 60 hari kepada 90 hari pada menjelang 2021, meningkatkan perlindungan sosial seperti memperluaskan perlindungan kepada pekerja kontrak melalui KWSP dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagi golongan yang mengusahakan perusahaan sendiri selain golongan nelayan petani, pemilik tunggal dan perkongsian.

Di samping itu, golongan kakitangan awam juga tidak lari daripada menikmati keistimewaan yang disediakan kerajaan melalui bajet 2020 ini. Perkara ini boleh dilihat apabila pelbagai peruntukan seperti kenaikan Bantuan Sara Hidup (COLA) ditingkatkan, penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai dan perlindungan Kemalangan Diri Berkelompok bernilai RM100 ribu secara percuma selama dua tahun.

Di samping itu, kerajaan juga tidak melupakan golongan kelainan upaya (OKU) dan juga golongan berpendapatan rendah. Hal ini kerana segala bantuan telahpun disediakan melalui Bantuan Sara Hidup (BSH), program MySalam dan juga Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) dengan jumlah peruntukan berbilion ringgit. Ini bagi memberi keselesaan kepada rakyat dengan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan dalam membantu mereka melestarikan kehidupan.

Bajet 2020 dilaksanakan dalam mentransformasikan rakyat ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030

Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan ke atas semua platform media sosial mendapati sebilangan besar netizen melahirkan kepuasan hati terhadap bajet yang dibentangkan. Mereka melahirkan rasa syukur kerana keterbukaan ‘mata dan telinga’ kerajaan terhadap beban yang ditanggung oleh rakyat sepanjang setahun pemerintahan PH. Akan tetapi, mereka ingin melihat sejauh mana pelaksanaannya mampu memenuhi kehendak rakyat dan bukan sekadar “hangat-hangat tahi ayam”.

Pembentangan bajet bagi tahun 2020 ini dilihat sebagai langkah awal kerajaan dalam mentranformasikan rakyat ke arah yang lebih gemilang sesuai dengan initipati Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang mahukan negara maju, bermaruah dan merdeka. Sebagai rakyat Malaysia baharu, sokongan padu daripada semua rakyat amat diharapkan bagi menjamin kelestarian negara di bawah pelaksanaan bajet 2020 agar sentiasa berada di landasan yang betul dan sesuai dengan temanya “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here