Apabila menjelang akhir tahun 2018, suasana di seluruh negara kini lebih tertumpu kepada musim persekolahan bagi sesi 2019 terutamanya kepada ibu bapa untuk membeli barang persiapan sekolah anak-anak mereka. Bagi golongan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah atau B40, perkara ini akan menjadi kebimbangan mengenai kos jika mempunyai anak-anak ramai kerana terpaksa mengeluarkan wang yang banyak.

Bagi mengurangkan beban ibu bapa dalam kumpulan B40 ini, kerajaan telah mengumumkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM100 akan diberikan kepada murid tahun satu hingga tingkatan 5 yang berada dalam kumpulan tersebut. Bantuan ini akan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk diagihkan kepada pelajar Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan seluruh negeri.

Sebanyak 3.2 juta pelajar akan menikmati Bantuan Awal Persekolahan 2019

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM328 juta untuk menyalurkan BAP kepada 3.2 juta pelajar sekolah. Objektif bantuan ini juga adalah bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung ibu bapa dan penjaga. Bantuan ini sekaligus boleh membantu ibu bapa menyediakan barang kelengkapan dan keperluan sekolah seperti alat tulis, buku sekolah, bag sekolah dan lain-lain lagi.

Selain itu, bantuan berjumlah RM100 ini amat bermakna kepada ibu bapa yang mempunyai ramai anak yang bersekolah. Ianya sekaligus dapat menjana persiapan anak-anak untuk kelengkapan sekolah. Bantuan tersebut akan digunakan untuk membeli baju dan seluar sekolah serta boleh membeli kasut hitam baru bagi menyahut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pelajar memakai kasut hitam di sekolah.

Bantuan tersebut boleh digunakan ibu bapa untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak mereka

Justeru, keputusan kerajaan untuk meneruskan bantuan sekolah ini adalah satu keputusan yang amat baik kerana bantuan ini di khususkan kepada golongan B40 sahaja. Bantuan ini juga dapat membantu ibu bapa meringankan beban mereka kerana harga kelengkapan sekolah makin meningkat kian tahun dan di tambah lagi dengan yuran tambahan sekolah yang membebankan keluarga berpendapatan rendah.

Maka, bantuan seperti ini perlu diteruskan lagi kerana banyak manfaat yang boleh diterima ibu bapa dan pelajar sekolah. Malah bantuan persekolahan seperti bantuan makanan dan susu perlu dikekalkan kepada murid sekolah dari keluarga B40 serta miskin tegar supaya kebajikan mereka terjaga demi memastikan mereka mendapat kualiti pendidikan terbaik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here