Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) adalah bantuan kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) kepada pekebun kecil dan pengusaha getah yang terjejas akibat musim tengkujuh. Sebelum ini, BMT dibayar sebanyak RM200 sebulan selama 3 bulan iaitu November, Disember dan Januari. Namun, pada tahun ini Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah memperuntukkan RM165 juta bagi membiayai BMT. Kesemua pekebun yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menerima bantuan sebanyak RM600 dan akan dibayar dalam dua peringkat di mana RM300 akan dibayar pada akhir tahun ini dan RM300 akan dibayar pada awal tahun 2019.

Tidak dapat dinafikan sejak BMT diwujudkan, ia serba sedikit dapat membantu pekebun kecil bagi menampung kehidupan seharian di musim tengkujuh yang menyebabkan mereka tidak boleh keluar menoreh seterusnya menjejaskan pendapatan mereka. Peningkatan pembayaran BMT disambut baik oleh masyarakat khususnya pekebun-pekebun kecil yang pendapatannya terjejas akibat musim tengkujuh.

Musim tengkujuh menjejaskan pendapatan penoreh getah

Sehubungan itu, rata-rata pekebun kecil juga menerima baik apabila BMT yang diberikan oleh kerajaan kali ini telah dinaikkan. Selain itu, maklum balas segelintir netizen dilaman sosial facebook juga banyak menyatakan bahawa inisiatif ini sangat membantu mereka yang berhadapan dengan beban sara hidup berikutan daripada pendapatan mereka terjejas semasa musim tengkujuh.

Namun, disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat, perlu diakui juga bahawa jumlah itu masih tidak mencukupi untuk digunakan untuk perbelanjaan keperluan asas mereka. Walau bagaimanapun, bantuan BMT ini sekaligus dapat meringankan beban mereka dalam jangka masa pendek. Adalah wajar sekiranya kerajaan mempertimbangkan untuk meningkatkan jumlah bantuan tersebut dalam kadar yang mencukupi untuk mereka menampung perbelanjaan sebulan.

Selain itu, pihak berwajib juga boleh turun ke kawasan-kawasan perkampungan terpencil dan memeriksa jika masih ada golongan pekebun kecil yang belum mendaftar akibat kekangan liputan internet, keuzuran atau tidak peka dengan insentif ini. Hal ini kerana kebanyakan pekebun kecil adalah golongan tua, adalah tidak mustahil jika mereka tercicir dari membuat pendaftaran BMT kerana kekangan yang tidak dapat dielakkan.

Pekebun kecil perlu membuat pendaftaran untuk menerima BMT

Di samping itu, kerajaan juga boleh mengkaji apakah lagi permasalahan pekebun kecil yang masih tidak mendapat perhatian. Dalam hal ini, pihak berwajib perlu mendekati golongan pekebun di seluruh negara untuk mendapatkan gambaran sebenar kesukaran yang dialami oleh mereka. Ini akan lebih memudahkan pihak kerajaan dalam menyediakan apa-apa skim bantuan atau insentif berdasarkan keperluan mereka.

Justeru itu, kerajaan perlu tampil dengan inisiatif yang lebih baik pada masa akan datang bagi membantu golongan ini. Peningkatan kos sara hidup lebih menyukarkan kehidupan mereka sekiranya skim seperti ini terhenti atau tidak ada pembaharuan dalam membantu mereka. Oleh itu, adalah wajar sekiranya kerajaan tampil dengan inisiatif yang lebih berkesan pada masa akan datang supaya golongan ini tidak terabai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here