Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) merupakan bantuan kerajaan persekutuan dalam bentuk wang tunai kepada kumpulan isi rumah berpendapatan rendah B40. Kerajaan akan terus komited dan menambah baik BSH kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan menyalurkan peruntukan secara lebih bersasar.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyatakan bahawa kadar BSH yang ditentukan bagi golongan isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah ialah RM1,000. Isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah pula akan menerima bantuan berjumlah RM750 manakala isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM3,001 hingga RM4,000 akan diberikan bantuan bernilai RM500. Kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah juga disediakan, namun terhad kepada empat orang. Dengan kata lain, bagi golongan isi rumah dengan pendapatan RM2,000 ke bawah dan mempunyai empat orang anak, bantuan yang akan diterima secara keseluruhan ialah RM1,480. Jumlah ini lebih tinggi daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang diberikan oleh kerajaan terdahulu, iaitu hanya RM1,200. Pemberian BSH ini dapat membantu dan menjamin kebajikan serta kualiti hidup rakyat.

Senarai kategori penerima BSH 2019

Tindakan kerajaan Pakatan Harapan untuk memansuhkan BRIM juga dilihat kerana objektif pemberian bantuan tersebut tidak dapat dicapai oleh kerajaan terdahulu. Tujuan kerajaan terdahulu untuk memberi bantuan ini adalah untuk meringankan beban rakyat tetapi ia sebenarnya tidak membantu rakyat akibat kos sara hidup yang meningkat kesan daripada cukai yang tinggi dan harga barang harian yang tidak menentu.

Kerajaan juga mendapati pengagihan BRIM oleh kerajaan terdahulu tidak dilaksanakan dengan betul kepada kelompok sasaran yang layak dan menyifatkan ia bukan untuk kebajikan rakyat tetapi salah satu strategi untuk kepentingan politik. Ini kerana kerajaan tidak mengkaji dengan sebaiknya kelompok sasaran yang layak kerana isi keluarga yang berpendapatan sama mempunyai beban dan tanggungjawab yang berbeza. Pemberian bantuan wang tanpa melihat situasi atau keperluan yang berbeza merupakan salah satu bentuk rasuah kepada rakyat dan menunjukkan kerajaan terdahulu tidak membantu golongan yang betul-betul memerlukannya.

Permohonan secara atas talian boleh dibuat melalui portal rasmi BSH yang diselenggara oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Walaupun masih terdapat lagi janji manifesto yang belum dilaksanakan oleh PH, rakyat seharusnya sedar yang nasib mereka kini masih lagi menjadi keutamaan pada hari ini. Dengan pemberian BSH ini membuktikan kerajaan masih meletakkan keperluan rakyat di tangga pertama dalam usaha mereka untuk meringankan beban sara hidup rakyat Malaysia. Kerajaan pada hari ini masih lagi berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik buat rakyat Malaysia walaupun para pemimpinnya masih bergelut dan memerah otak untuk melangsaikan hutang negara yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, apa salahnya jika kita memberikan ruang dan waktu kepada PH untuk menyelesaikan segala permasalahan yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu sebelum menyambung kembali pelaksanaan janji manifesto mereka yang terpaksa ditangguhkan seketika. Perkara ini bukanlah isu yang rumit yang boleh menggugat kestabilan negara dan kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan pada hari ini. Atas usaha dan komitmen mereka, kita masih lagi boleh menjalankan kehidupan seharian seperti biasa tanpa perlu memikirkan segala kos-kos yang tidak munasabah yang terpaksa ditanggung oleh rakyat dan mengurangkan bebanan perbelanjaan mereka yang semakin hari semakin meningkat.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here