Dalam Islam, zakat adalah salah satu rukun yang wajib ditunaikan umat Islam bagi mereka yang memenuhi syarat. Di Malaysia, Institusi Pengurusan Zakat ialah sebuah institusi kewangan yang bertanggungjawab terhadap segala kutipan zakat fitrah dan zakat harta. Institusi ini berada di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam di setiap negeri.

Sehubungan dengan itu, terdapat lapan golongan yang layak menerima bantuan zakat iaitu fakir, miskin, al-riqab, al-gharimin, muallaf, fisabilillah dan ibnu sabil. Fungsi zakat adalah untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan orang Islam. Sementara itu, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) telah diberikan tanggungjawab untuk mengagihkan kepada golongan yang layak menerima bantuan zakat.

Perlis luluskan fatwa sahih bantuan zakat kepada bukan Islam

Baru-baru ini, Anwar Ibrahim telah mencadangkan kepada institusi zakat di negara ini supaya pengagihan bantuan zakat diperluaskan kepada golongan bukan Islam. Perkara ini telah mendapat pelbagai maklum balas terutamanya para agamawan dan mufti di beberapa negeri.

Ekoran daripada cadangan ini, Selangor dan Perak telah menegaskan bahawa agihan bantuan zakat di negeri tersebut hanya untuk orang Islam. Namun, ia berbeza di negeri Perlis apabila meluluskan fatwa membolehkan wang zakat diberikan kepada bukan muslim di bawah asnaf muallaf qulubuhum iaitu golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam.

Di dalam Al-Quran sudah jelas disebut bahawa zakat hanya untuk orang Islam. Di samping itu, Berdasarkan pendapat beberapa tokoh agama, tiada istilah zakat untuk bukan Islam dan ini bermakna hanya orang Islam yang layak akan menerima bantuan tersebut. Namun, agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan sekiranya ia menjadi penyebab individu berkenaan memeluk Islam di bawah asnaf muallaf qulubuhum.

Pusat pungutan zakat bertanggungjawab memastikan siapa yang layak menerima agihan bantuan zakat

Memang benar negara kita mempunyai pelbagai kaum dan Islam juga menggalakkan kita membantu sesama manusia. Namun, bagi isu ini, agihan bantuan zakat tidak seharusnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana ia sudah jelas sejak dahulu lagi. Situasi semasa juga membuktikan bahawa golongan bukan Islam di negara ini tidak pernah diabaikan dalam banyak aspek. Selain itu, kerajaan juga boleh mewujudkan satu mekanisme baru bagi mengagihkan bantuan kepada bukan Islam menggunakan wang hasil sistem percukaian yang lain tanpa melibatkan wang agihan bantuan zakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here