Sebut saja Bantuan Sara Hidup (BSH), sudah pasti rakyat akan tersenyum gembira. Namun, dalam pembentangan Belanjawan 2020 penghujung tahun lalu, ia seakan menyentap pangkal hati mereka apabila kenaikan bantuan yang diharapkan tidak kunjung tiba. Sebaliknya, bantuan kepada golongan bujang berusia 40 tahun ke atas dan orang kelainan upaya (OKU) yang berpendapatan RM2,000 ke bawah pula diperkenalkan kepada RM300.

Sebilangan besar daripada rakyat dan pemimpin politik mengkritik hebat langkah Kementerian Kewangan dalam menyusun atur peruntukan kepada rakyat. Bagi mereka, keperluan golongan B40 harus diutamakan kerana setiap tahun perbelanjaan mereka bertambah apatah lagi jika sebuah isi rumah mempunyai bilangan anak yang ramai.

Bantuan bagi individu bujang berusia 40 tahun ke atas paling mendapat kritikan

Tidak terhenti di situ, ada juga sebahagian daripada mereka mempersoalkan keperluan individu bujang yang berumur 40 tahun ke atas dalam menerima bantuan tersebut sebanyak RM300 sedangkan bilangan mereka tidak ramai dan rata-ratanya mempunyai karier yang stabil. Bagi rakyat, kerajaan boleh menggunakan jumlah tersebut untuk membuat penambahan ke atas bantuan isi rumah B40. Akibatnya, kini mereka sudah mula membuat perbandingan ke atas bantuan yang diterima daripada kerajaan hari ini berbanding kerajaan terdahulu.

Dalam hal ini, peruntukan bantuan dilihat wajar dinaikkan memandangkan kos sara hidup negara ini semakin meningkat selain pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (SST) serta kenaikan harga minyak. Ini kerana peruntukan yang diberikan oleh kerajaan boleh dikatakan sekadar ‘cukup-cukup makan’ dan rakyat terpaksa menambah perbelanjaan melalui duit poket mereka sendiri. Sekiranya ia dinaikkan, maka kerajaan haruslah menggariskan beberapa kriteria yang lebih ketat supaya kumpulan sasaran yang layak sahaja dapat menikmatinya.

Kerajaan disarankan untuk mengkaji semula kadar peruntukan bantuan kepada rakyat demi kelestarian sejagat

Antara kriteria yang perlu difokuskan adalah pendapatan isi rumah secara bulanan. Mungkin kerajaan boleh menyemak kembali kriteria ini dan menaikkan jumlah peruntukan kerana pendapatan isi rumah bulanan yang tinggi juga memerlukan perbelanjaan yang tinggi dalam menampung kos sara hidup.

Selain itu, kriteria lain yang perlu difokuskan ialah dari segi keperluan isi rumah itu sendiri. Kerajaan boleh mengarahkan Kerajaan Negeri untuk melakukan bancian di seluruh daerah supaya kelompok sasaran yang sepatutnya tidak ketinggalan. Mungkin ada di kalangan mereka hanya menerima bantuan seperti yang disyaratkan tetapi sebenarnya ia memerlukan perbelanjaan lebih daripada itu.

Ironinya, BSH yang dilaksanakan pada hari ini masih lagi tidak mematuhi penanda aras seperti yang diharapkan oleh rakyat. Ini kerana dengan jumlah yang diperuntukkan, ia masih tidak mampu menampung kos sara hidup mereka apatah lagi dengan pelaksanaan SST yang membebankan dan harga bahan bakar yang tidak menentu. Oleh itu, kerajaan disarankan agar meneliti segala aspek ini dan menaikkan peruntukan bantuan demi kesejahteraan dan kelestarian rakyat Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here