Sejak kebelakangan ini nama basikal lajak sering menjadi topik hangat kepada rakyat Malaysia oleh kerana ia sedang menjadi kegilaan remaja khususnya pelajar sekolah. Basikal lajak ini adalah sebuah basikal yang telah diubah suai menjadi sebuah basikal yang tiada ciri-ciri keselamatan yang baik.

Kita sendiri dapat melihat trend basikal lajak ini menjadi sangat popular di kalangan pelajar sekolah sama ada sekolah menengah mahupun sekolah rendah. Apa yang membimbangkan kita adalah apabila mereka sering dilihat berlumba sesama mereka di jalan raya utama sehingga membahayakan nyawa mereka dan juga orang sekeliling.

Contoh model basikal lajak

Sebelum ini juga telah berlaku pelbagai kes-kes kemalangan maut yang melibatkan penunggang basikal lajak ini. Jelaslah disini, budaya ini perlu dihentikan segera supaya ia tidak akan mempengaruhi lebih ramai remaja di luar sana dari terjerumus untuk melakukan perkara yang tidak berfaedah sebegini.

Oleh itu, pelbagai langkah perlu diambil supaya perkara ini dapat dibendung secara komprehensif dengan cara melakukan pemantauan terhadap aktiviti yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah yang terlibat dengan budaya basikal lajak. Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan masing-masing untuk sentiasa menasihati dan memberikan kesedaran tentang kesan buruk yang perlu ditanggung oleh mereka di kemudian hari sekiranya masih bersikap degil.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga telah mengingatkan ibu bapa untuk bertanggungjawab memantau keberadaan anak-anak supaya tragedi yang telah berlaku pada tahun 2017 yang lalu tidak berulang lagi.

Antara aksi berbahaya penunggang basikal lajak

Selain itu, pihak polis juga telah menegaskan bahawa Ibu bapa kepada anak yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan tindakan undang-undang. Mereka akan diambil tindakan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 di mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali

Budaya basikal lajak ini akan terus berleluasa sekiranya masih belum timbul kesedaran di kalangan masyarakat untuk mencegah masalah ini. Justeru itu, masyarakat sekeliling juga janganlah mengambil sikap tidak peduli dan menutup mata, sebaliknya mereka perlu terus memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis agar tindakan selanjutnya dapat diambil jika dapat mengesan aktiviti-aktiviti yang membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here