Utusan Malaysia tewas akhirnya. Masih terbayang keratan akhbar pada Ogos 2019, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir mengeluarkan kenyataan bahawa akhbar keramat Melayu itu akan tetap terus beroperasi. Namun itu cerita dua bulan yang lalu. 9 Oktober 2019 Utusan Malaysia secara rasminya menghentikan operasi syarikat mereka. Tamat sudah riwayat 80 tahun Utusan Malaysia sebagai suara konservatif Melayu.

Umum mungkin sudah mengetahui bahawa akhbar Utusan Malaysia dikuasai oleh parti UMNO dengan saham sebanyak 49.77% dalam Utusan. Malah Datuk Seri Najib Razak juga ada mengeluarkan kenyataan bahawa selepas pengambil alihan kuasa oleh Pakatan Harapan (PH), kerajaan baharu itu menghalang mana-mana agensi kerajaan daripada mengiklankan produk mereka di dalam akhbar Utusan Malaysia.

29 Mei 1939, Edisi pertama Utusan

Malah beliau juga ada menyatakan bahawa kerajaan PH telah merampas dana wang tunai PRU14 sebanyak RM160 juta dan membekukan akaun bank UMNO supaya parti itu tidak dapat menolong Utusan Malaysia. Malah selepas kekalahan UMNO pada PRU-14 lalu saham dalam akhbar Utusan Melayu jatuh ke tahap terendah dalam tempoh lima tahun pada 2018.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan, Mohd Taufek Razak menyatakan bahawa Utusan Malaysia beroperasi bukan berasaskan keuntungan, tetapi berdasarkan pada kepentingan politik semata-mata. Malah kebergantungan akhbar itu pada parti politik merupakan satu petanda buruk.

Ada benarnya apa yang dinyatakan oleh beliau. Lihat nasib Utusan Malaysia kini. Selepas kejatuhan UMNO, Utusan Malaysia mulai kelam. Media sebenarnya perlu bebas daripada pegangan mana-mana parti politik. Maruah dan martabat media perlu diangkat daripada dikawal secara terang-terangan.

Apabila media dikawal oleh parti politik pasti akan ada penulisan berita yang bukan sahaja berat sebelah malahan ada fakta-fakta yang tidak disampaikan secara telus. Akhbar di luar negara tidak dikuasai oleh mana-mana parti politik melalui pegangan saham. Mungkin jika ada, kebanyakan ahli politik yang berpengaruh hanya mempengaruhi pengarangnya sahaja.

Selain daripada impak buruk seperti yang kita lihat apa yang telah terjadi pada Utusan Malaysia, penguasaan parti politik dalam media tidak seharusnya berlaku. Media merupakan medium kepada suara rakyat. Walaupun mereka berperanan dalam menyampaikan isu-isu politik, namun seharusnya setiap penyampaian itu tidak berpihak kepada sesiapa. Jika kerajaan berlaku pincang, maka media harus melaporkan perkara yang benar. Begitu juga jika berlaku sebaliknya.

Akhbar yang bertindak sebagai lidah rasmi parti politik seperti Harakah atau Suara Keadilan hanya membawa dasar-dasar parti. Tidak dapat dipastikan sejauh mana dasar-dasar itu mampu membawa kepada kepentingan rakyat.

Allahyarham Tun Abdul Razak ketika  merasmikan bangunan tambahan Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, pada 22 Jun 1972

Secara peribadi, media seharusnya tidak dikuasai oleh mana-mana parti politik. Malah pekerja Utusan Melayu dahulu pernah melakukan mogok pada Julai 1961 supaya akhbar keramat Melayu itu tidak dikuasai oleh UMNO. Namun kegagalan mogok itu menyebabkan UMNO terus menguasai akhbar ini.

Kini Utusan Malaysia mungkin bakal diambil alih oleh Aurora Mulia Sdn Bhd yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al- Bukhary. Jika ini berlaku bermakna Utusan Malaysia tidak akan terkubur sepenuhnya. Malah akhbar ini akan terus mampu berkhidmat kepada seluruh bangsa Melayu, agama dan tanah air dan bukannya kepada satu kelompok orang Melayu yang menganggotai satu-satu parti.

Apa yang terjadi pada Utusan Melayu perlu diambil pengajaran kepada seluruh karyawan tanah air. Media tidak harus dipolitikkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here