Nasib siswazah masa kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana saban tahun golongan ini menghadapi kesulitan berganda apabila mereka bukan sahaja sukar untuk mendapatkan tempat dalam industri pekerjaan malahan mereka juga menghadapi gaji permulaan yang semakin berkurangan. Lebih malang lagi apabila permintaan untuk pekerjaan berkemahiran tinggi di pasaran juga semakin berkurang.

Baru-baru ini Laporan Bank Negara Malaysia 2018 mencatatkan trend gaji permulaan bulanan bagi kebanyakkan siswazah semakin mengecil sejak 2010. Dengan mengambil kira faktor inflasi, gaji permulaan untuk graduan dengan ijazah asas adalah RM1,993 pada tahun 2010 tetapi pada tahun 2018 mencatat penurunan di mana gaji yang ditawarkan adalah sebanyak RM1,983.

Trend gaji permulaan siswazah semakin menurun

Manakala mereka yang mempunyai ijazah Sarjana menyaksikan kemerosotan yang lebih besar dalam pengurangan gaji permulaan mereka daripada RM2,923 kepada RM2,707. Bagi siswazah yang berkelulusan diploma pula, gaji permulaan adalah RM1,376 pada tahun 2018 berbanding RM1,458 pada tahun 2010.

Bilangan pemegang diploma dan ijazah yang memasuki pasaran kerja meningkat sebanyak 173,457 orang setahun dari tahun 2010 sehingga 2017 secara purata. Namun, dalam tempoh masa yang sama, kemasukan graduan dalam pekerjaan kemahiran tinggi hanya 98,514 orang pada purata setahun. Hal ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi negara tidak mampu mewujudkan jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk menyerap bilangan siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan.

Permulaan gaji pokok bagi pekerja tanpa pengalaman dari 2010-2018

Realiti yang dihadapi oleh siswazah ini akan terus menjadi punca kebimbangan dalam kalangan siswazah muda. Hal ini kerana, kos pendidikan terus meningkat saban tahun namun para siswazah masih sukar untuk mendapatkan pekerjaan malahan gaji permulaan juga tidak setara dengan kelayakan mereka.

Jika perkara ini berterusan, maka golongan muda akan hilang minat untuk meneruskan pengajian ke tahap yang lebih tinggi dan akhirnya akan merugikan negara. Sudah pastilah mereka tidak mahu belajar di tahap yang lebih tinggi kerana bukan sahaja terpaksa menanggung kos pendidikan yang tinggi malahan sukar untuk mencari pekerjaan.

Isu kebolehpasaran siswazah dan isu gaji ini bukanlah masalah baharu di negara ini. Sudah pastilah pelbagai rintihan dan rungutan diterima oleh pihak kerajaan mengenai isu ini. Namun, dapat dilihat bahawa kadar upah atau gaji ini dikawal oleh majikan dan mekanisme kerajaan terlalu lemah dan tidak berupaya menangani isu ini. Jurang pendapatan semakin meningkat saban hari di negara ini dan isu ini mestilah ditangani oleh sektor awam mahupun swasta.

Justeru itu, pihak kerajaan, sektor swasta dan juga majikan perlu duduk semeja berunding mengenai mekanisme yang terbaik bagi menangani isu ini. Pihak CUEPACS pula perlulah memainkan peranan dalam menjaga kebajikan pekerja terutamanya golongan siswazah agar tidak terus menjadi mangsa keadaan seterusnya menjadi pihak yang memperjuangkan nasib golongan siswazah ini.

Sekiranya isu ini tidak ditangani maka generasi akan datang kurang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi malahan siswazah yang mempunyai kemahiran pula akan berhijrah ke negara yang menawarkan pekerjaan serta gaji yang lumayan dan akhirnya akan merugikan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here