Saban tahun rakyat Malaysia akan mendengar tentang pelaksanaan Op Selamat oleh pihak PDRM terutamanya ketika menjelang sambutan hari perayaan. Tujuan ianya dilaksanakan adalah untuk menanam nilai-nilai murni pengguna jalanraya supaya mengutamakan aspek keselamatan semasa memandu dan mengurang kadar kemalangan maut serta kemalangan biasa.

Op Selamat 2020 sudah merekodkan 4,971 kemalangan dalam tempoh tiga hari

Akan tetapi, walaupun operasi keselamatan jalanraya ini dilaksanakan sejak tahun 2001, jumlah statistik kemalangan dan kematian masih lagi tinggi seperti pengguna tidak mengambil berat tentang keselamatan jalanraya. Malah pada tahun ini sahaja, Op Selamat 2020 sudah merekodkan 4,971 kemalangan membabitkan 7,480 kenderaan dalam tempoh 3 hari sahaja.

Kebanyakan punca utama kes kemalangan ini adalah disebabkan sikap pengguna jalanraya tidak kira kenderaan atau motosikal sendiri. Ramai pengguna jalanraya maut akibat terbabas sendiri, memotong kenderaan secara bahaya dan sikap tidak sabar pengguna jalan raya yang memandu laju serta gemar menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Di sebabkan itulah segala usaha pihak berkuasa dan kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk membuat operasi dan kempen keselamatan jalanraya tidak membuahkan hasil selagi sikap pemandu sendiri tidak berubah. Apa yang mereka lihat adalah pihak berkuasa mahu memberi saman kepada pengguna jalanraya jika ada Op Selamat sedangkan ianya adalah untuk memberi penyedaran tentang kes kemalangan.

Kempen Op Selamat perlu diberi perhatian oleh pengguna jalanraya

Inilah perkara yang perlu diberikan perhatian kerana pengguna jalanraya perlu sedar mereka bukan sahaja mempertaruhkan nyawa mereka tetapi juga nyawa penumpang dan nyawa pengguna jalanraya lain. Jika sikap memandu secara berbahaya sebegini masih tidak berubah, orang lain yang terpaksa menanggung akibatnya.

Justeru, amatlah penting kepada pengguna jalanraya melihat Op Selamat ini sebagai usaha pihak berkuasa untuk menyelamatkan nyawa mereka dan orang lain. Mereka haruslah mengambil perhatian kepada setiap peringatan dari pihak polis tentang keselamatan jalanraya dan jangan sudah terhantuk baru tergadah apabila kemalangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here